Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Entiti, individu dalam perbicaraan Muhyiddin
Diterbitkan:  Mar 10, 2023 3:20 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

Kertas pertuduhan bagi perbicaraan rasuah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menamakan tiga syarikat dan satu individu.

Satu set pertuduhan berkaitan undang-undang pengubahan wang haram manakala satu lagi adalah berkaitan penyalahgunaan kuasa.

Di bawah ialah gambaran ringkas tentang entiti dan individu yang terlibat.

Bukhary Equity Sdn Bhd

Bukhary Equity Sdn Bhd dimiliki oleh Syed Mokhtar Shah Syed Nor dan isterinya Sharifah Zarah Syed Kechik memiliki Bukhary Equity Sdn Bhd, dengan Syed Mokhtar mempunyai 99 peratus kepentingan.

Rekod syarikat menunjukkan bahawa ia adalah sebuah syarikat "pemegang pelaburan" dengan alamat di tengah-tengah Kuala Lumpur dan dalam jarak berjalan kaki dari Masjid Negara.

Alamat tersebut dikongsi oleh Perspective Lane (M) Sdn Bhd, Yayasan Al-Bukhary dan Yayasan Keamanan Global Perdana.

Menurut senarai Forbes 2022, Syed Mokhtar adalah rakyat Malaysia ke-15 terkaya dengan anggaran nilai harta AS$1.5 bilion (RM6.8 bilion).

Syed Mokhtar terkenal dengan sikap dermawanannya dan empayar perniagaan yang merangkumi pertanian, pembuatan, telekomunikasi dan industri media.

Bukhary Equity Sdn Bhd didakwa telah memasukkan RM120 juta dalam akaun bank CIMB Bersatu antara 25 Feb 2021 dan 16 Julai 2021.

Syarikat itu membuat deposit lagi sebanyak RM75 juta ke akaun bank yang sama antara 8 Feb 2022 dan 8 Julai 2022.

Kertas pertuduhan terhadap Muhyiddin menyatakan kedua-dua perbuatan itu melanggar Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Muhyiddin menghadapi satu lagi pertuduhan menyalahgunakan jawatannya bagi suapan RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd untuk Bersatu.

Pertuduhan ini membabitkan pelanggaran Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 antara 8 Feb 2021 dan 25 Feb 2021.

Selepas Muhyiddin dibebaskan daripada soal siasat SPRM malam tadi, dia memberitahu pemberita bahawa salah satu pertuduhan adalah berhubung keputusannya memberikan pengecualian cukai untuk Yayasan Al-Bukhary.

Nepturis Sdn Bhd

Nepturis Sdn Bhd ialah sebuah syarikat pembinaan dan kejuruteraan, meskipun rekod Suruhanjaya Syarikat menyenaraikan syarikat itu sebagai "kontraktor untuk perkhidmatan penyelenggaraan".

Pemilikan sama rata antara Aliza Abdul Malek dan Rizman Akum Khan. Pada tahun kewangan 2021, syarikat itu mempunyai pendapatan RM13 juta dan memperoleh keuntungan RM1 juta.

Dalam perbicaraan berasingan terhadap Wan Saiful Wan Jan, syarikat itu didakwa telah membayar bekas ketua penerangan Bersatu itu RM6.96 juta untuk mendapatkan surat anugerah daripada kerajaan persekutuan bagi projek "Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur" bernilai RM232 juta.

Ini adalah sebahagian daripada projek Central Spine Road yang akan menjangkau dari Kuala Krai, Kelantan ke Bentong, Pahang.

Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad

Nepturis Sdn Bhd turut disebut dalam kertas pertuduhan terhadap Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, yang didakwa meminta rasuah RM2 juta dan menerima rasuah RM4.1 juta daripada seorang individu bernama Lian Tian Chuan untuk membantu syarikat itu memenangi kontrak projek bernilai RM141 juta.

Mengikut kertas pertuduhan Muhyiddin, dia didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebanyak RM1 juta sebagai suapan daripada Nepturis Sdn Bhd antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Adam Radlan Adam Muhammad

Mamfor Sdn Bhd

Mamfor Sdn Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Mamfor Construction Sdn Bhd, merupakan syarikat yang terlibat dalam pembinaan, penyewaan jentera, penyewaan premis dan "survey CCTV".

Pemilikan syarikat dibahagikan antara Sharani Kassim (60 peratus) diikuti Shahradzi Shamsuddin (39 peratus) dan Faezah Kassim (satu peratus).

Menurut rekod Jabatan Kerja Raya, Mamfor, di bawah nama lamanya, telah dikontrak oleh kerajaan untuk membina bangunan sekolah seawal tahun 2008. Syarikat itu telah diperbadankan pada tahun 1996.

Maklumat kewangan terkini yang tersedia dengan Suruhanjaya Syarikat adalah untuk tahun 2017, yang menunjukkan syarikat itu memperoleh hasil sebanyak RM137,294 pada tahun itu dan mencatatkan keuntungan sebanyak RM312,113.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhyiddin telah menyalahgunakan jawatannya untuk dorongan RM19.5 juta daripada Mamfor Sdn Bhd antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021, untuk manfaat Bersatu.

Azman Yusoff

Azman Yusoff, 51, lebih dikenali sebagai ketua Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia.

Dia juga merupakan ahli Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), sebuah badan berkanun, sejak 2019.

Kertas pertuduhan menyatakan bahawa Muhyiddin telah menyalahgunakan jawatannya untuk dorongan RM12 juta daripada Azman untuk faedah Bersatu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Lihat Komen
ADS