Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hamzah: Jangan cari salah saja, saya pun ada banyak fail
Diterbitkan:  Mar 12, 2023 5:46 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin membayangkan dia ada fail berkaitan pemimpin parti dalam kerajaan memandangkan dia pernah menjadi menteri dalam negeri.

Hamzah mendedahkan perkara itu ketika mengulas berkenaan apa yang didakwa sebagai pendakwaan politik terhadap pembangkang.

"Jangan cari salah saja. Saya boleh cari salah mereka.

"Saya pernah jadi menteri dalam negeri. Saya rasa saya ada banyak fail berkenaan mereka juga, (terpulang) sama ada saya nak gunakannya atau tidak," katanya dalam wawancara bersama The Star.

Katanya, jika gangguan terhadap pembangkang bertujuan untuk melenturkan semangat mereka, ia tidak akan berjaya.

"Sebagai ahli politik, kita tidak pernah jadi kecewa, dan malah semangat yang kita dapat selepas ditekan, diganggu seperti ini, kita semakin kuat," katanya lagi.

Pada Jumaat lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM232.5 juta, yang didakwa diperolehi daripada tiga syarikat dan seorang individu ketika dia menjadi perdana menteri.

Muhyiddin Yassin

Muhyiddin juga dijangka akan dihadapkan dengan sejumlah pertuduhan lagi esok.

Dia dan sejumlah pemimpin PN membayangkan dana itu merupakan sumbangan politik.

'Sumbangan politik tak salah'

Hamzah berkata sumbangan politik bukan satu kesalahan kerana pada masa ini ia tidak tertakluk pada undang-undang secara khusus.

"Tiada akta yang melarang dana politik, sesiapa saja boleh menyumbang kepada parti jika mereka rasa perjuangan, pemimpin parti itu, dapat mencapai apa saja yang mereka inginkan," katanya.

Akta berkenaan pendanaan politik sudah disebut-sebut sejak sekian lama, dengan pentadbiran-petandbiran sebelum ini berkata akan membentangkan rang undang-undang (RUU) berkenaannya.

Pentadbiran Ismail Sabri Yaakob pernah dilaporkan akan membentangkan RUU Pendanaan Politik pada November.

Namun, Parlimen kemudian dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15 pada November lalu.

Sebelum itu, pentadbiran PH telah menyerahkan cadangan rangka kerja perundangan untuk RUU tersebut kepada Parlimen pada November 2019 untuk diteliti sebuah jawatankuasa pilihan khas parlimen.

Namun, pentadbiran PH tumbang pada Februari 2020 susulan Langkah Sheraton.

Dalam perkembangan terbaru, kerajaan semasa berkata RUU itu akan dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas parlimen untuk pertimbangan lanjut.

Sementara itu, Hamzah berkata dia berharap kerajaan akan mengambil berat peranan pembangkang dan mengadakan libat urus dengan mereka.

"Kami berjuang untuk rakyat. Kami percaya apa saja yang kami bawa ke Parlimen perlu dipertimbang secara saksama oleh kerajaan.

"Jika kami rasa kerajaan tidak mendengar kami, maka kami tiada pilihan kecuali untuk berbuat sesuatu.

"Kami ada banyak pilihan. Saya tak dapat beritahu anda sekarang, tapi kami akan lakukan sesuatu.

"Sebagai manusia, saya ada had saya. Ketika saya tiada sebarang pilihan lain, saya akan lakukan (salah satu pilihan tersebut)," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS