mk-logo
Berita
Syarikat pengimport telur ancam saman Azmin
Diterbitkan:  Mar 13, 2023 2:31 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

Sebuah syarikat yang diberi kebenaran mengimport telur dari India ke Malaysia, mengancam untuk menyaman bekas ahli parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali berhubung ucapan yang dibuatnya mengenai perniagaan itu.

Ini selepas Azmin mendakwa pada Sabtu bahawa ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan diberi kontrak untuk import telur melalui rundingan terus dan dikecualikan daripada pemeriksaan keselamatan makanan.

Menjawab ucapan itu, J&E Advance Tech Sdn Bhd - pengimport tunggal telur dari India - menafikan dakwaan Azmin berhubung kontrak rundingan terus dan pengecualian keselamatan makanan.

"J&E tidak pernah diberikan sebarang kontrak rundingan terus oleh kerajaan dan J&E tidak pernah menjual atau menawarkan untuk menjual telur yang diimport dari India kepada kerajaan atau mana-mana agensi kerajaan atau syarikat-syarikat GLC yang berkaitan.

“Kenyataan Azmin adalah satu pembohongan terang-terangan yang direka untuk mengelirukan masyarakat umum bagi memesongkan kes jenayah yang difailkan terhadap presiden partinya Muhyiddin Yassin,” kata syarikat itu pada satu kenyataan hari ini.

Syarikat itu sebaliknya berkata bahawa ia telah meminta kebenaran daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India bagi menangani kekurangan bekalan yang teruk dalam pasaran dan diberi kelulusan sementara berkuat kuasa sehingga Jun 2023.

J&E juga berkata telur yang diimport diteliti oleh kedua-dua Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan kerajaan India, dan tertakluk kepada pemeriksaan oleh Jabatan Perkhidmatan Pemeriksaan Kuarantin Malaysia (Maqis).

J&E memberi tempoh 72 jam kepada Azmin mulai hari ini untuk membuat "kenyataan pembetulan" kepada syarikat itu serta di media sosial, atau berdepan tindakan saman.

Azmin semasa berucap pada malam Sabtu tidak menamakan J&E dan menumpukan dakwaannya hanya kepada Deepak.

Syarikat itu pada kenyataan hari ini tidak menyebut atau menafikan hubungannya dengan Deepak sebagaimana yang didakwa Azmin.

Semakan atas maklumat syarikat J&E dengan Suruhanjaya Syarikat mendapati Deepak tidak disenaraikan sebagai pemegang saham atau pengarah dalam firma itu.

Ucapan Azmin juga mendakwa Deepak telah mengikuti rombongan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Mohamad Sabu yang melawat India baru-baru ini.

Gambar Deepak dan Mohamad serta Timbalan Presiden MIC M Saravanan, yang dikatakan diambil ketika lawatan tersebut, telah dilaporkan oleh sebuah blog dan telah diterbitkan semula oleh portal MalaysiaNow pada hari Jumaat.

Pada 28 Feb, Mohamad dilaporkan berkata hanya satu syarikat telah diberi kebenaran untuk mengimport telur dari India, antara langkah kerajaan untuk menangani kekurangan bekalan telur.

Sebelum ini, J&E juga telah mengeluarkan surat tuntutan kepada Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong, yang lantang bersuara mengenai kos dan kualiti telur yang diimport dari India di Dewan Rakyat.

Lihat Komen
ADS