Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penyokong PN dakwa himpunan Hari Wanita angkat agenda LGBT

Tumpuan beberapa akaun TikTok yang proPN adalah semata-mata kepada kehadiran kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada perarakan meraikan Hari Wanita Antarabangsa itu.

Perarakan wanita, yang diadakan pada hari Ahad lalu buat kali pertama sejak 2020, bertujuan menyatukan orang ramai bagi menuntut kesaksamaan jantina, keadilan dan menamatkan semua bentuk diskriminasi terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

Bagaimanapun, bendera pelangi dan logonya telah mengaburi semua isu diperjuangkan di mata sebahagian penyokong Perikatan Nasional (PN).

Tumpuan beberapa akaun TikTok yang kelihatan proPN adalah semata-mata kepada kehadiran kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada perarakan meraikan Hari Wanita Antarabangsa itu.

Semakan Malaysiakini mendapati salah satu akaun TikTok yang condong kepada PN juga menuduh kerajaan menyebelahi komuniti LGBT sambil menindas pendakwah bebas seperti Azhar Idrus dan Wadi Annuar.

“Steady Malaysia Madani. Himpunan Islam ditangkap, himpunan LGBT sunyi," dakwa satu akaun pengguna media sosial itu.

Azhar dan Wadi - kedua-duanya didakwa penyokong PN - baru-baru ini telah membatalkan kuliah agama mereka di masjid dan surau di Selangor.

Azhar Idrus

Ini kerana mereka tidak mempunyai tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri - tetapi isu itu telah dijadikan bahan politik terhadap Pakatan Harapan (PH).

Satu lagi akaun TikTok mengecam perarakan itu kerana membenarkan pesertanya menaikkan bendera LGBT.

“Apa sudah berlaku (kepada Malaysia)?” soalnya dengan hashtag #kerajaangagal pada keterangan kandungan siaran tersebut.

Gesaan bertindak

Apa yang dipanggil "elemen pro-LGBT" pada perarakan itu juga mendapat tarikan dengan penggubal undang-undang PN, yang menyifatkannya sebagai perhimpunan haram LGBT dan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap kebangkitan kumpulan tersebut.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Ahmad Yahaya mendakwa bahawa kumpulan itu cuba "meresap" ke dalam masyarakat dengan mengaburi mata rakyat dengan budaya "sonsang tersebut.

“Mereka secara terbuka membawa sepanduk dan bendera pelangi sebagai tanda sokongan kepada kumpulan LGBT.

“Mereka berani tampil mendedahkan pendirian mereka dan ia dipersembahkan melalui ucapan dan juga dalam filem seperti ‘Mentega Terbang’,” dakwa Ahmad di Dewan Rakyat semalam.

Ketua Dewan Ulama PAS itu mendakwa kumpulan LGBT itu akan menggunakan diskriminasi sebagai alat untuk mereka “menghalalkan” aktiviti songsang di negara ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari pula turut mempersoalkan sama ada kerajaan akan memperkenalkan undang-undang yang lebih keras untuk menghentikan kebangkitan kumpulan tersebut, kerana ia bertentangan dengan budaya tempatan yang konservatif.

Ahmad Fadhli Shaari

Ketua Pemuda PAS itu menuduh kumpulan LGBT merampas agenda pemerkasaan wanita semasa perarakan supaya "kerajaan memberi lampu hijau kepada LGBT di negara ini".

“Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Kita mahu tindakan diambil terhadap semua pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Siasatan polis

Pada Ahad lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata kertas siasatan telah dibuka berhubung perarakan itu.

Perhimpunan yang diadakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka itu disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kesalahan Kecil 1955, tambahnya.

Sehingga hari ini, polis memanggil tujuh orang terdiri daripada peserta, penceramah, penganjur dan pemerhati perarakan untuk disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 2.30 petang, semalam.

Noor Dellhan Yahaya

Susulan itu, penganjur perarakan itu mengecam siasatan polis terhadap mereka yang terlibat dalam perhimpunan aman itu.

Penganjur juga melahirkan rasa kecewa akan dihukum kerana menggunakan hak demokrasi mereka untuk memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.

Ia mengingatkan Putrajaya bahawa "i" dalam slogan "Malaysia Madani" kerajaan bermaksud ihsan (kebaikan), yang menyatakan bahawa semua orang, terutamanya minoriti, mesti dilayan dengan empati dan kebaikan.

Menurut kenyataan jawatankuasa penganjur sebelum ini, perarakan itu antara lain menuntut perkahwinan kanak-kanak diharamkan, kerajaan melindungi autonomi badan dan kebebasan memilih, serta menggubal reformasi perlembagaan dan perundangan untuk mencapai kesaksamaan jantina.

Ia juga menyeru penglibatan politik yang sama bagi jantina yang tertindas di semua peringkat tadbir urus dan untuk memastikan taraf kerja dan gaji sara hidup yang lebih baik.

Lihat Komen
ADS