Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Analisis undian etnik PRU15 – Bahagian 2: Siapa keluar mengundi?

ULASAN | Disember lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang membuat satu dakwaan tidak berasas bahawa kadar keluar mengundi orang Cina lebih tinggi berbanding orang Melayu disebabkan orang Melayu pergi menunaikan umrah. Namun, analisis saya terhadap tingkah laku undian etnik semasa PRU15 menunjukkan sebaliknya. 

Bahagian kedua ini menganalisis kadar keluar mengundi menerusi sudut pandang etnik dengan tumpuan kepada Semenanjung Malaysia (Sabah dan Sarawak akan disentuh dalam bahagian berasingan). Dapatan menunjukkan kadar keluar mengundi berbeza-beza di serata Malaysia dan ia membentuk keputusan pilihan raya.

Secara asasnya, ia melonjakkan kejayaan PN dan  merosotkan prestasi PH dan Umno. Bahkan, berbeza dengan naratif tidak tepat yang dicanang Hadi, kadar keluar mengundi orang Melayu yang lebih tinggi sebenarnya memberi kelebihan kepada PN. 

Pada masa sama, kadar keluar mengundi lebih rendah di kalangan orang Cina mengurangkan peluang calon PH. Namun, bukan kadar keluar mengundi sahaja yang mempengaruhi keputusan akhir di banyak kerusi yang menyaksikan gabungan ini kecundang. 

Untuk semua gabungan-gabungan utama, peralihan sokongan etnik – yang akan dibincangkan dalam bahagian lain – terbukti menjadi faktor penentu yang lebih penting berbanding kadar keluar mengundi. 

Bagaimanapun, dapatan kadar keluar mengundi mengikut agama menunjukkan dengan jelas perlunya penambahbaikan kepada sistem undi pos di negara ini. Di Semenanjung Malaysia, secara perbandingannya, lebih ramai pengundi dari kawasan terpencil yang tidak dapat mengundi, seperti di Kelantan, Kedah dan Perak.

Walaupun ada peningkatan dalam aspek meluaskan hak mengundi menerusi Undi18, kurangnya pembaharuan dalam undi pos menjejaskan mereka yang tidak mampu untuk pulang mengundi, tidak kiralah dari komuniti mana sekalipun. 

Kadar Keluar Mengundi Dalam Konteks

Jika dilihat secara umum pada PRU lalu, kadar keluar mengundi di Malaysia adalah tinggi, terutama jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Kesan peluasan hak mengundi menerusi Undi18 dan pendaftaran automatik memberi kesan positif terhadap penyertaan rakyat dan meningkatkan bilangan mereka yang turun mengundi. 

Namun, peratusan keluar mengundi dalam PRU15 merosot. Hal ini sememangnya dijangkakan dengan bertambahnya bilangan pengundi – ada pengundi yang tidak tahu pun nama mereka tersenarai dalam daftar pemilih. Kadar keluar mengundi merosot dari 82 peratus (PRU14) kepada 74 peratus (PRU15). 

Hal ini berbeza mengikut kaum. Anggaran kemerosotan kadar keluar mengundi paling besar di kalangan pengundi Cina iaitu sebanyak 14 peratus, diikuti masyarakat lain seperti Bumiputera Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung iaitu sebanyak 13 peratus, manakala pengundi India pula sebanyak 9 peratus. Kemerosotan kadar keluar mengundi di kalangan orang Melayu dianggarkan sebanyak 6 peratus, iaitu kemerosotan paling sedikit.

Kadar keluar mengundi ini disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya kemampuan parti dalam mengerah pengundi untuk keluar mengundi menerusi jentera, sumber dan penglibatan media sosial, isu-isu dalam kempen dan tahap/bentuk persaingan di satu-satu kawasan.

Kajian mendapati pengundi lebih memilih untuk tidak mengundi apabila mereka merasakan undi mereka tidak bermakna atau apabila parti atau gabungan yang mereka sokong sejak sekian lama, melayan mereka seolah-olah tidak bernilai. 

Pada PRU15, persaingan lebih sengit di kalangan parti politik Melayu mendorong lebih ramai orang Melayu untuk turun mengundi berbanding kaum lain. Pengundi Melayu dikerah lebih rancak menerusi jentera parti, termasuk penggunaan insentif sumber/kewangan untuk menggalakkan mereka keluar mengundi.  Memandangkan sokongan Melayu menyebelahi PN, prestasi PN melonjak dalam PRU15. 

PH berjaya meningkatkan kadar keluar mengundi orang Cina (dan orang India – disentuh dalam bahagian akan datang) berbanding ketika PRN Johor dan Melaka.

Berbanding anggaran 43 peratus ketika PRN Johor, kadar keluar mengundi orang Cina dan India di negeri itu adalah dianggarkan sebanyak 68 peratus pada PRU15. Di Melaka, berbanding anggaran 68 peratus pada PRN pada 2021, kadar keluar mengundi dua kumpulan ini adalah 72 peratus pada PRU15.

Dianggarkan daripada 43 peratus pada PRN2022 kepada 68% pada PRU15 (bagi Johor) dan dari 68% pada PRN2021 kepada 72% pada PRU15 (bagi Melaka), membawa lebih ramai penyokong etnik tradisi mereka kembali ke kotak undi.

Biarpun begitu, kadar keluar mengundi orang Cina adalah paling rendah berbanding semua komuniti lain dan tidak mencecah tahap PRU14. PH masih berdepan jurang dalam daya tarikan untuk menarik kalangan pengundi Cina yang memilih untuk tidak mengundi kali ini berbanding pada masa lalu. 

Covid-19 turut memberi kesan kepada kadar keluar mengundi pada PRU15, terutama kesan berkaitan ekonomi. Ramai pengundi luar tidak mampu untuk pulang ke kampung halaman, lebih-lebih lagi mereka yang tidak menerima bantuan kewangan untuk berbuat demikian. Ini sekali lagi menguatkan gesaan untuk menambah baik sistem undi pos dengan lebih jitu, memandangkan kegagalan sistem tersebut mendiskriminasi hak pengundi yang tidak mampu untuk pulang mengundi. 

Anggaran kadar keluar mengundi Pengundi Melayu

Melihat lebih dekat anggaran undian orang Melayu mengikut negeri, didapati pengundian di kalangan mereka adalah paling tinggi dan hal ini tidak berubah dengan ketara mengikut negeri.

Namun lain pula ceritanya di kubu kuat PAS di Kelantan, yang mencatatkan kadar keluar mengundi yang paling rendah di Malaysia (di bawah Borneo).

Faktor pengundi luar sedikit sebanyak dapat membantu kita memahami punca kadar keluar mengundi yang rendah. Kurangnya persaingan turut memainkan peranan: PAS yang mendominasi politik Kelantan menyebabkan banyak persaingan menjadi tidak sengit. 


Anggaran kadar keluar mengundi orang Melayu paling tinggi adalah di Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan - di kawasan berbilang kaum serta di tempat-tempat yang menyaksikan persaingan sengit. 

Anggaran kadar keluar mengundi Pengundi Cina 

Anggaran kadar keluar mengundi orang Cina menyaksikan lebih banyak variasi mengikut kawasan. Kelantan mencatatkan angka terendah dengan 54 peratus, manakala Terengganu pula mencatatkan angka tertinggi dengan 77 peratus.

Faktor pengundi luar dan faktor persaingan turut ketara di sini. Pada angka 65 peratus yang dicatatkan di Kedah dan 65 peratus di Perak, peratusan didapati lebih rendah di negeri-negeri yang memiliki lebih ramai pengundi luar. 


Apabila Peratusan Keluar Mengundi Menjadi Faktor Penting

Untuk menilai kesan kadar keluar mengundi, saya menumpukan pada kerusi-kerusi yang sengit dan marginal. 

Secara umumnya, pada PRU15, kadar keluar mengundi menjadi faktor yang tidak begitu mempengaruhi berbanding ketika PRN Melaka dan Johor.

Pada PRN tersebut, penurunan kadar keluar mengundi sahaja sudah memberi kesan kepada keputusan pilihan raya. Pada PRU15 pula, ia dipengaruhi gabungan faktor corak kadar keluar mengundi serta peralihan sokongan etnik. Namun, faktor kedua itulah yang lebih penting dan berpengaruh. 

Tiga dapatan ini memberi gambaran mengenai kesan kadar keluar mengundi mengikut etnik terhadap keputusan pilihan raya. 

Pertama, PN menerima lonjakan pengundi Melayu yang keluar mengundi. Kadar keluar mengundi orang Melayu yang lebih tinggi di kawasan-kawasan seperti di Selangor, Pulau Pinang dan Melaka menyumbang kepada kejayaan mereka di negeri-negeri ini, dari Tasek Gelugor, Tangga Batu ke Kapar hinggalah ke Jasin. PN berjaya meraih kemenangan dengan margin lebih besar menerusi mobilisasi pengundi Melayu. 

Kedua, PH hilang sokongan disebabkan kadar keluar pengundi Cina yang rendah, terutama di kawasan-kawasan yang ramai pengundi luar dari etnik berkenaan. Ini jelas terlihat seperti di Lumut dan Parit Buntar di Perak, Kuantan di Pahang dan Ayer Hitam di Johor. Pun begitu, di semua kawasan berkenaan, hasil pilihan raya tidak akan berubah hanya dengan faktor penurunan jumlah keluar mengundi semata-mata. 

Ketiga, pada pilihan raya sebelum ini, penyokong setia parti yang tidak berpuas hati sanggup untuk tidak keluar mengundi berbanding memilih parti lain. Namun, dalam PRU15, mereka keluar untuk membuang undi. Pengundi Umno misalnya, mereka tidak hanya protes di rumah. Mereka sebaliknya turun mengundi kali ini.

Namun, Umno tetap kalah di kerusi seperti Sungai Besar dan Kangar. Di sini, kadar keluar mengundi bukan faktor paling penting, tetapi peralihan sokongan kaum. Dalam kes ini, Umno kehilangan sokongan.

Perlunya pembaharuan

PRU15 barangkali bukan tentang pengaruh kadar keluar mengundi terhadap keputusan pilihan raya, berbanding beberapa PRN sebelumnya. Pada masa sama, pola undian etnik tidak disebut ahli-ahli politik dalam usaha mereka untuk menggugat kestabilan dengan mengapi-apikan unsur perkauman. 

Sebaliknya, iktibar yang boleh diambil daripada kadar keluar mengundi dalam PRU15 adalah perlunya lebih banyak pembaharuan untuk memudahkan proses pengundian, bagi mengurangkan kemerosotan peratus undian di kala bilangan pengundi kian meningkat.

Pengundi luar tidak harus diminta untuk pulang mengundi di kampung halaman, meskipun destinasinya hanyalah dalam Semenanjung Malaysia. Mereka sepatutnya boleh mengundi lebih awal atau menerusi undi pos. 

Keperluan untuk memperbaharui sistem pengundian bagi meningkatkan kadar keluar mengundi  adalah penting, lebih-lebih lagi di kala PRN semakin hampir, di mana kadar keluar mengundi  pengundi tradisional menurun berbanding PRU15. 


BRIDGET WELSH ialah Penyelidik Kehormat Institut Kajian Asia Malaysia (Unari) Universiti Nottingham. Dia juga penyelidik kanan di Hu Fu Centre for East Asia Democratic Studies dan felo kanan di The Habibie Centre. Penulisannya boleh didapati di bridgetwelsh.com. Ikuti siri podcastnya, Kerusi Panas.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS