Timbalan Ketua Menteri Sabah letak jawatan
Tan Sri Chong Kah Kiat hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Beliau juga Menteri Pelancongan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Sabah mengumumkan perletakan jawatannya daripada kabinet negeri itu, di Kota Kinabalu pagi ini.
Bagaimanapun, Chong berkata, beliau kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Tanjung Kapor.
Difahamkan beliau meletak jawatan kerana tidak lagi sehaluan dengan Ketua Menteri, Datuk Musa Aman.
Chong juga sebelum ini merupakan Ketua Menteri Sabah ke-13 pada tahun 2001 di bawah sistem penggiliran ketua menteri antara parti-parti komponen BN di Sabah.
Beliau juga merupakan bekas Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP).
Patung Dewa Kuan Yin
Sumber-sumber memberitahu malaysiakini bahawa hubungan antara Chong dan Musa sudah lama tidak rapat dan yang terbaru adalah perbezaan pendapat berhubung cadangan Chong untuk membina sebuah patung Dewa Kuan Yin di Kudat sebagai tarikan pelancong.
Cadangan tersebut ditolak dan Chong dikatakan telah menyebut bahawa Umno Sabah yang dipengerusikan oleh Musa boleh mengetepikan cadangannya itu kerana LDP hanya sebuah parti nyamuk, kata sumber-sumber itu lagi.
Difahamkan kedua-duanya sudah tidak bertegur sapa sejak ketika Chong menjadi ketua menteri lagi dan telah menolak banyak projek yang dicadangkan oleh Musa ketika itu.
Sumber-sumber berkata, Musa juga menganggap masalah dengan timbalan ketua menteri itu menghalang rancangannya untuk memajukan Pulau Sipadan berhampiran pantai Sabah.
'Hilang sabar'
Chong dikatakan ragu-ragu dengan rancangan tersebut, yang juga turut ditentang oleh pihak berkuasa pusat, kerana kemungkinan ia akan merosakkan persekitaran semulajadinya.
Chong tidak menjawab apabila ditanya di sidang akhbar hari ini sama ada keputusannya untuk meletak jawatan itu berpunca daripada masalahnya dengan ketua menteri.
Bagaimanapun, sumber-sumber berkata, peletakan jawatannya bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ia memang sudah diduga.
Persoalannya sekarang ialah bagaimanakah reaksi pemimpin Cina dalam parti-parti komponen Barisan Nasional berhubung perkembangan terbaru itu.
Sejarah politik Chong
Menurut sejarah politiknya, Chong dipilih sebagai Adun Kudat dalam pilihanraya negeri Sabah pada 1981. Bagaimanapun beliau gagal mempertahankan kerusi Kudat atas tiket Barisan Nasional (BN).
Beliau tewas kepada calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Wong Phin Chung. Chong bertanding sekali lagi di Kudat dalam pilihanraya 1986, tetapi gagal untuk menewaskan Wong.
Pada 1985, beliau dipilih menjadi anggot Majlis Tertinggi Berjaya sebelum dipilih memegang jawatan naib presiden parti itu pada 1987.
Pada bulan Ogos 1989, Chong menjadi setiausaha agung penaja, Parti Liberal Demokratik (LDP). Beliau juga merupakan antara pengasas penubuhan parti berkenaan.
Pada 1990 beliau dilantik sebagai pemangku presiden LDP dan kemudian dipilih menjadi presiden parti itu pada ogos 1991. Pada Disember 1991, Chong dilantik sebagai naib pengerusi BN Sabah.
Chong yang dipilih semula sebagai presiden LDP tanpa bertanding pada April 1992, tidak bertanding dalam pilihanraya negeri pada 1994.
Pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Senator selama dua penggal selama enam tahun. Pada bulan Jun 1995, Chong dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Letak jawatan
Bagaimanapun, beliau melepaskan jawatan tersebut untuk bertanding dan memenangi kerusi Kudat dalam pilihanraya negeri Sabah pada 1999.
Berikutan itu, beliau dilantik menganggotai kabinet Datuk Osu Sukam dengan memegang jawatan Menteri Pelancongan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi sehingga 2001.
Pada 27 Mac 2001, Chong mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah di bawah sistem penggiliran antara parti-parti komponen BN Sabah ketika itu.
Beliau merupakan Ketua Menteri Sabah ke-13 untuk tempoh dua tahun sehingga Mac 2003 bagi mewakili masyarakat Cina di negeri itu.
Selepas itu, Chong dikekalkan dalam kabinet Sabah sebagai Menteri Pelancongan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah pada 27 Mac 2003, sehinggalah beliau meletakkan jawatannya hari ini.