Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Datuk Roy’ bebas dengan jaminan SPRM, akan ditahan semula esok

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini membebaskan seorang ahli perniagaan yang dikenali sebagai ‘Datuk Roy‘ dengan jaminan SPRM, berikutan tamat tempoh reman tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan program Jana Wibawa.

Bagaimanapun, lelaki berusia 54 tahun itu dijadualkan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk tahanan reman selanjutnya sebagai sebahagian daripada siasatan SPRM berkaitan skim projek itu.

Peguamnya Fahmi Abd Moin mengesahkan Majistret Kuala Lumpur Noorelyna Hanim Abd Halim pagi ini membenarkan pembebasan itu berikutan SPRM tidak memohon lanjutan reman.

“Dia (Datuk Roy) kemudian akan dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya dan pihak siasatan akan mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret di sana esok,” kata peguam itu.

Dua hari lalu, epas, mahkamah di Kuala Lumpur mengeluarkan perintah reman tiga hari sehingga hari ini terhadap ‘Datuk Roy’ bagi membantu siasatan SPRM mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tiga hari lalu, New Straits Times melaporkan lelaki itu, yang dikehendaki SPRM untuk membantu siasatan berhubung skim Jana Wibawa, telah menyerah diri.

Akhbar harian berbahasa Inggeris itu memetik Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Mohd Hussein Mohd Nasir, yang dikenali sebagai “Datuk Roy”, telah menyerahkan diri sebelum ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan pihak berkuasa sedang mencari lelaki itu dan menggesa orang ramai tampil bagi mendapatkan maklumat.

Laporan itu mencadangkan bahawa individu berkenaan adalah "dalang" di sebalik kegiatan jenayah berkenaan.

Pihak berkuasa setakat ini telah mendakwa tiga ahli politik - termasuk bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan - berhubung skim Jana Wibawa.

Skim itu yang nama penuhnya Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa dilancarkan pada 2020 sebagai satu cara untuk membantu kontraktor bumiputera semasa pandemik Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS