Selepas dua minggu, mangsa banjir di Johor menurun kepada 25,983 orang setakat 4 petang ini berbanding 26,381 orang direkodkan pada 8 pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Sekolah Agama Seri Comel di Senggarang, Batu Pahat menjadikan sebanyak 96 PPS beroperasi di daerah itu dan Segamat.
"Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa 25,939 orang daripada 7,406 keluarga, manakala Segamat seramai 44 orang daripada 14 keluarga," menurut JPBN pada satu kenyataan petang ini.
Sungai Bekok di Empangan Bekok, Batu Pahat, maklum JPBN melepasi aras bahaya dengan bacaan 19.31 meter.
Segamat yang dilaporkan mendung ketika ini manakala cuaca di sembilan daerah cerah.
JPBN menyatakan lima jalan di Batu Pahat masih ditutup untuk kenderaan ringan kerana ditenggelami air dan hanya kenderaan berat dibenarkan melalui jalan tersebut.
Penutupan itu melibatkan Jalan Parit Haji Arif/Sri Dayung berhampiran Jambatan Sri Dayung; Jalan Parit Jambi (Jambatan Parit Jambi); Jalan Haji Arif (Klinik Kesihatan Sri Medan); Jalan Parit Warijo (sepanjang jalan) dan Jalan Sri Bengkal (Kampung Sri Bengkal).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor K Raven Kumar pada 11 Mac berkata banjir di daerah Batu Pahat dijangkakan surut dalam tempoh dua minggu atau sebulan.
Dia berkata perkara tersebut bergantung kepada keadaan cuaca dan tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor yang telah menempatkan pam air di beberapa lokasi sekitar Batu Pahat sejak beberapa hari lepas.
