Seramai 11 lelaki Muslim ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) kerana disyaki culas melaksanakan solat Jumaat di bandar raya Kuala Terengganu hari ini.
Media melaporkan mereka diperhatikan oleh penguat kuasa wanita pihak berkuasa agama negeri terbabit melepak di kawasan kedai berhampiran perhentian bas dan teksi sejak jam 1.15 tengah hari.
Apabila disoal siasat, lapor Utusan Online, mereka - yang berusia antara 20 hingga 50 tahun - mereka mendakwa baru saja berada di situ selepas selesai melakukan solat Jumaat.
Bagaimanapun kata Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) JHEAT, Khairul Azizi Idris, alasan tersebut tidak diterima kerana pemantauan memang dibuat sejak awal.
Semakan waktu solat di laman sesawang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menunjukkan waktu solat Jumaat di Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus ialah jam 1.18 tengah hari.
Menurut laporan portal berkenaan, enam daripada lelaki terbabit merupakan pekerja pasar raya berhampiran.
“Pemantauan mendapati mereka memang berada di situ dan tidak pergi menunaikan solat Jumaat hinggalah ditahan,” kata Khairul Azizi yang dipetik Utusan.
Menurutnya lelaki terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 (pindaan 2016) dan boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan bersalah.
Operasi itu mendapat kerjasama daripada 20 pegawai penguat kuasa syariah dari daerah Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.
“JHEAT akan sentiasa memantau dan melakukan penguatkuasaan secara lebih kerap bagi memastikan seluruh umat Islam di negeri ini tidak culas dalam melaksanakan ibadah itu,” kata Khairul Azizi lagi.
