Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan digesa audit penyelesaian Muhyiddin dengan Goldman Sachs
Diterbitkan:  Mar 18, 2023 9:26 PM
Dikemaskini: 1:57 PM

NGO Aliran menggesa audit forensik dijalankan terhadap penyelesaian yang dicapai bank Goldman Sachs dengan kerajaan Malaysia berhubung 1MDB pada Julai 2020 ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.

Kumpulan itu berkata pentadbiran sekarang di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu meneliti penyelesaian AS$2.5 bilion yang dilaporkan dan aku janji AS$1.4 bilion untuk aset boleh diperoleh semula, angka yang jauh lebih rendah daripada anggaran AS$9.6 bilion yang anggarkan oleh bekas peguam negara Tommy Thomas.

Memetik petikan daripada memoir Thomas, ‘My Story: Justice in the Wilderness’, Aliran menyoal jika terdapat persetujuan berasingan yang dicapai dengan Muhyiddin.

“Aliran menggesa kerajaan pimpinan Anwar untuk melihat rekod pentadbiran terdahulu.

"Adakah Goldman Sachs bersetuju dengan angka yang lebih tinggi diletakkan kerajaan Malaysia sebelum penyelesaian oleh Muhyiddin," soal Aliran.

"Jika ya, adakah terdapat perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan dan Goldman Sachs untuk jumlah yang lebih tinggi itu?

"Sekiranya terdapat perjanjian sedemikian yang tidak didedahkan kepada umum, kami menggesa kerajaan Anwar untuk mendedahkan perjanjian itu kepada umum," kata kumpulan aktivis dan intelektual awam itu lagi.

Aliran berkata kerajaan harus menumpukan sebarang siasatan terhadap dakwaan yang terkandung dalam memoir Thomas mengenai bab khusus membabitkan Goldman Sachs.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani turut menggesa siasatan terhadap penyelesaian itu.

Pada masa itu, Johari berkata Goldman Sachs sebagai penasihat kewangan dan pengurus utama untuk tiga bon yang diterbitkan oleh 1MDB bernilai AS$6.5 bilion telah meraih yuran AS$606 juta dalam proses itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS