Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kekecohan pemilihan Johor Bahru, Lahad Datu dibawa ke JPU - Zahid

Insiden kekecohan dalam pemilihan Umno di Johor Bahru dan Lahad Datu akan dibawa kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno (JPU), kata presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, JPU yang dipengerusikan Sharir Samad akan menjalankan siasatan dan memberikan laporan terperinci berhubung dua insiden terbabit.

"Saya sendiri yakin wibawa JPU. Pemilihan di bahagian ada wakil JPU, mereka memantau dan menghantar laporan ke JPU pusat untuk lakukan penelitian dan siasatan.

"Jika kes itu perlu rujuk kepada lembaga disiplin, maka tindakan disiplin akan diambil," katanya ketika ditemui media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur, lewat malam tadi.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata secara keseluruhan pemilihan Umno membabitkan 189 bahagian yang berlangsung semalam berjalan lancar.

Katanya tidak lebih lima peratus pemilihan Umno bahagian menghadapi masalah dan kebanyakan aduan telah diselesaikan.

"Setakat ni tak lebih daripada lima peratus kes berat atau ringan, aduan yang kita terima itu banyak yang telah diselesaikan, aduan ditarik dan terima keputusan yang dibuat para perwakilan," katanya

Terdahulu, Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Lahad Datu di Dewan Sri Perdana di Lahad Datu dicemari oleh insiden pergaduhan dipercayai akibat provokasi sehingga menyebabkan dua individu cedera.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Rohan Shah Ahmad berkata dalam insiden pada 2.45 petang itu, seorang daripada mangsa yang cedera adalah kakitangan Badan Perhubungan Umno Sabah manakala seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Lahad Datu.

Sementara itu, pemilihan Umno Bahagian Johor Bahru kecoh apabila proses itu ditangguh dan digantung ekoran berlaku pertambahan jumlah kertas undi selepas kiraan akhir dibuat pada Sabtu

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata secara keseluruhannya dia berpuas hati terhadap perjalanan pemilihan Umno kali ini, namun penelitian perlu dilakukan untuk menambaik baik proses berkenaan.

"Saya puas hati tetapi perlu penelitian dan kita mesti berlaku adil kepada setiap calon dan juga perwakilan yang hadir sebab jumlahnya semua sekali 160,000," katanya.

Lihat Komen
ADS