Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muda tersisih, masih tak dijemput ke mesyuarat sekretariat K'jaan Perpaduan

Muda sekali lagi diketepikan daripada mesyuarat parti pemerintah kerajaan gabungan.

Pada masa sama, Muda juga masih menunggu jawapan daripada Pakatan Harapan untuk membincangkan perkara berkaitan peranan parti itu dalam kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Menurut Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi (gambar, bawah), parti itu tidak dijemput ke mesyuarat kedua sekretariat kerajaan perpaduan itu, yang diadakan di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur malam ini.

"Tak hadir. Kita tak ada terima sebarang jemputan," katanya kepada Malaysiakini melalui aplikasi pesanan ringkas.

Mesyuarat yang dijadualkan malam ini dikatakan untuk membincangkan enam pilihan raya negeri akan datang.

Setakat ini, pemimpin Umno, PKR, DAP, GPS dan MCA antara yang dilihat tiba di tempat mesyuarat itu.

Menurut seorang pemimpin kanan salah satu pihak terlibat dalam mesyuarat itu, agenda yang dijangka akan dibincangkan termasuk peruntukan kerusi dalam kalangan parti yang menyokong pentadbiran persekutuan sekarang.

Ini merupakan kali kedua Muda diketepikan daripada mesyuarat sekretariat parti pemerintah, selepas mesyuarat pertama pada 7 Feb, yang diadakan di tempat yang sama.

Turut tersisih ketika itu ialah Parti Bangsa Malaysia (PBM). Masih belum dapat dipastikan jika PBM dijemput ke mesyuarat hari ini namun setakat ini tiada seorangpun kelibat pemimpinnya dilihat hadir di ibu pejabat Umno.

Sementara itu, Amir juga berkata PH juga tidak memberi maklum balas terhadap permintaan Muda untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu-isu termasuk peranan Muda dalam kerajaan.

"Kita telah hantar surat ketiga untuk atur perjumpaan bersama sekretariat PH bertarikh 18 Feb.

"Masih menunggu respon. Sama ada dijemput atau tidak, Muda akan fokus pada persiapan parti menjelang PRN," katanya.

Menurut Amir lagi, permohonan Muda untuk menyertai PH juga tiada sebarang perkembangan.

Katanya, jawapan terakhir yang mereka terima ialah daripada Anwar sebelum pilihan raya umum ke-15 tahun lepas.

Lihat Komen
ADS