Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi: Siti Nuramira langgar '3R' ketika buat persembahan

Persembahan kontroversi Siti Nuramira Abdullah pada 4 Jun tahun lalu melanggar aspek "3R" dengan menyentuh isu sensitif iaitu agama, menurut pengacara acara itu dalam keterangannya hari ini.

Muhammad Ashraf Kamal Musthaffa yang menjadi saksi pendakwaan pertama berkata demikian ketika memberikan keterangan lisan di hari pertama perbicaraan terhadap Siti Nuramira di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.

Ashraf yang juga merupakan seorang pelawak dan juga pereka grafik, berkata pada hari tersebut dia telah memberi penerangan kepada Siti Nuramira dan V Alexander Navin (yang didakwa Ashraf diperkenalkan Amira sebagai suaminya), sebelum persembahan wanita itu agar tidak menyentuh isu sensitif.

Ketika pemeriksaan utama dengan timbalan pendakwa raya Abdul Malik Ayob, Ashraf berkata memang wujud peraturan tidak rasmi (unwritten rule) terhadap pelawak agar tidak menyentuh 3R, iaitu kaum, agama dan institusi diraja (race, religion, and royalty).

Ashraf: Tiga perkara ini (3R) adalah sesuatu yang disampaikan dan kita sepatutnya faham sendiri. Sebelum buat persembahan, saya sudah ada tanggapan tentang apa yang ingin diperkatakan. Bagi ramai di kalangan kami, ia lebih kepada adab profesional tentang apa yang kami boleh dan tak boleh perkatakan. Ia menjadi peraturan tidak rasmi.

Malik: Dalam persembahan (Siti Nuramira), adakah 3R (disebut)?

Ashraf: Satu daripadanya, iaitu agama. Dia kata dia hafal Quran.

Malik: Sebagai pengacara, anda setuju dengan persembahannya?

Ashraf: Sebagai pengacara, tak. Saya buat apa yang boleh, naik ke pentas dan jelaskan (kepada penonton) tentang apa yang berlaku. Saya beritahu dia dan lelaki yang didakwa sebagai suaminya bahawa ini adalah tempat yang penuh rasa hormat, jadi tolong hormat - saya ingat saya sebut perkara ini dengan jelas (ketika penerang sebelum persembahan kepada Siti Nuramira dan Alexander).

Malik: Sebagai pengacara, adakah anda tahu apa yang akan dipersembahkan (Siti Nuramira sebelum ia berlaku)?

Ashraf: Tidak.

Dia berkata Siti Nuramira mengambil alih pentas selepas persembahan Alexander.

"Ketika Amy (Siti Nuramira) buat persembahan, dia perkenal dirinya, dan sebut dia hafal 15 juzuk Quran, dan dia terus buka tudung dan baju kurungnya. Dia pakai pakaian yang lebih terdedah (di sebalik tudung dan baju kurung).

"Dia kemudian sebut beberapa kata kesat seperti ‘Hello mother******'. Selepas itu, saya tercengang. Saya pengacara dan ia berlaku begitu pantas. Bila dia beredar dari pentas, saya terus ke pentas untuk jalankan tanggungjawab (sebagai pengacara).

"Ketika itu, dalam fikiran saya adalah 'bagaimana untuk buat penonton kekal tenang' jadi keutamaan," katanya yang menjadi pengacara sucara sukarela ketika sesi open mic di Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur.

'Tiada jenaka'

Saksi itu menegaskan dia tidak pernah melihat persembahan seumpama itu dan berkata dia tidak bersetuju dengan tindakan Siti Nuramirah kerana jenaka stand-up adalah tentang menyampaikan jenaka, dan dia mendakwa tiada jenaka yang disampaikan dan tiada unsur jenaka stand-up dalam persembahan Siti Nuramirah.

"Pada pandangan saya, apa yang saya dapat lihat adalah penonton terkejut, reaksi bercampur-baur. Saya tak dapat tumpu kepada setiap orang...Jadi selepas itu saya ke pentas dan tenangkan keadaan," katanya.

Ashraf berkata dia juga mengingatkan penonton - yang membayar tiket untuk ke acara itu - agar tidak mengambil gambar atau video ketika persembahan agar tidak mengganggu tumpuan pelawak.

Ketika prosiding hari ini, rakaman pendek persembahan Siti Nuramira ditayangkan.

Ketika diperiksa balas peguam bela R Sivaraj, Ashraf setuju bahawa ketika insiden itu, dia tiada latihan rasmi sebagai pengacara dan masih sebagai orang baru dalam dunia jenaka stand-up.

Dia juga mengaku bahawa aspek 3R pernah disentuh secara komedi di Crackhouse Comedy Club dan dia sendiri pernah menggunakan kata-kata kesat dalam persembahannya.

Sivaraj juga membantah kehadiran pemilik bersama kelab komedi itu, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel di galeri awam.

Rizal juga menjadi saksi pendakwaan selain individu yang membuat laporan polis terhadap persembahan Siti Nuramirah sebelum ini.

Malik kemudian memohon maaf kerana terlepas pandang berkenaan perkara itu dan berkata Rizal telah pun diminta meninggalkan galeri awam.

Siti Nuramira didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkenaan kesalahan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau memudaratkan melibatkan agama, antara individu atau kumpulan yang menganut agama sama atau berlainan.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara lima tahun.

Perbicaraan bersambung esok.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS