Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada keperluan tutup kantin semasa Ramadan
Diterbitkan:  Mar 20, 2023 4:03 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Semua kantin sekolah boleh beroperasi seperti biasa sepanjang Ramadan ini bagi memudahkan murid dan pelajar bukan Islam membeli makanan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata isu penutupan kantin tidak sepatutnya berbangkit kerana setiap sekolah perlu menyantuni murid dan pelajar mereka dengan adil.

Dalam konteks Malaysia Madani katanya semua pihak perlu bersifat insklusif dan pada masa sama tetap menghormati Ramadan serta memaklumkan situasi tersebut kepada pelajar bahawa ia merupakan bulan ibadah.

"Proses untuk memahamkan yang lain juga harus bermula, tapi ini tidak bermakna mereka harus dipinggirkan atau tidak ada ruang untuk mereka makan.

"Jadi, pelajar yang bukan Muslim selalunya diberi ruang untuk mereka dan keperluan mereka perlu disantuni pihak sekolah.

"Tidak ada keperluan (menutup operasi kantin), maknanya jangan tutup terus dan jangan paksa mereka... berpuasalah (apabila) melihat rakan mereka berpuasa," katanya.

Ahli parlimen Nibong Tebal itu berkata demikian pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Rancangan Penempatan Semula Pos Betau, dekat Lipis, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Terdahulu, Fadhlina dan Wan Rosdy meninjau pengoperasian sekolah berkenaan sebagai sekolah rintis model khas komprehensif (K11). Ketika ini ada dua sekolah rintis K11 di seluruh negara.

Satu lagi berada di Long Bedian, Sarawak. Jika di Pos Betau itu menempatkan pelajar dari lebih 20 petempatan Orang Asli sekitar Lipis, sekolah di Sarawak itu pula beroperasi untuk pelajar dari kalangan kaum Penan.

"Kementerian akan melihat kepada unjuran dan keperluan bagi memperkenalkan sekolah K11 di tempat lain pada masa akan datang," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan projek rintis sekolah K9 yang menempatkan pelajar dari darjah satu hingga tingkatan tiga untuk belajar di sekolah sama.

Bagi kategori K11 pula, pelajar akan bersekolah di sekolah berkenaan bermula dari darjah satu hingga tingkatan lima.

Sementara itu, Wan Rosdy berharap KPM dapat mempertimbangkan pembinaan asrama untuk sekolah terbabit bagi memastikan pelajar yang jauh hadir setiap hari mengikuti sesi pembelajaran.

"Sebelum ini ketika saya menjadi exco luar bandar dan hal ehwal Orang Asli, kadar keciciran dalam kalangan anak Orang Asli mencecah 35 peratus.

"Antara punca yang dikenal pasti ialah jarak antara kampung mereka dengan sekolah, (kerana itu) ada anak-anak Orang Asli yang hanya bersekolah setakat darjah enam.

"Jadi kalau boleh KPM kementerian pertimbangkan juga pembinaan asrama untuk kemudahan mereka," katanya.

Hari ini terdapat seramai 814 pelajar mendaftar untuk sesi persekolahan 2023/2024 di Pos Betau dan ia melebihi 700 peratus sasaran ditetapkan KPM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS