DUN Kelantan l Persidangan dewan undangan negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan usul supaya menteri besarnya selaku ketua kerajaan negeri dapat meneruskan rundingan dengan perdana menteri dalam kadar segara bagi mengembalikan hak royalti minyak.
Usul yang dikemukan Hassan Mahamood (PN-Tawang) dan dipersetujui sebulat suara oleh anggota dewan undangan negeri (Adun) tanpa perbahasan.
Hassan dalam ucapan usulnya berkata, usul tersebut berikutan jawapan Menteri di Jabatan perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Parlimen) Azalina Othman Said yang menyatakan bayaran tunai petroleum adalah terhad dalam perairan tiga batu nautika sahaja.
Katanya, DUN Kelantan telah menolak untuk meratifikasikan Akta Laut dan Wilayah 2012 dan Akta 750 pada 5 Nov 2015.
"Perdana menteri juga menyebut dalam ucapan Belanjawan 2023 bahawa sebahagian wang ihsan akan diurus melalui kerajaan persekutuan dan ini adalah menyalahi perjanjian 1975 yang ditandatangani kerajaan Kelantan dan Petronas.
"Perjanjian pada 5 Mei 1975 dalam fasal 1 jelas menyatakan Petronas hendaklah menjelaskan wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan jumlah lima peratus daripada nilai petroleum yang diperolehi di Kelantan.
"Perdana menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein ketika menjawab pertanyaan Lim Kit Siang (ahli Parlimen Petaling timur) di Dewan Rakyat menyatakan mengikut perjanjian itu setiap negeri akan menerima lima peratus royalti daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut," katanya pada sesi sidang DUN Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu Azalina dilaporkan berkata Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.
Perjanjian Pembayaran Wang Tunai yang ditandatangani antara Petronas dan kerajaan Kelantan dan Terengganu memperuntukkan dua negeri itu boleh diberi pembayaran tunai sebanyak lima peratus untuk petroleum yang didapati dan diperolehi dalam jarak tiga batu nautika dari garis air surut.
"Namun, Petronas tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah Kelantan dan Terengganu," katanya di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Sementara itu tambah Hassan pada 16 Jun 2013 Sultan Kelantan juga bertitah supaya menyelesaian isu tuntutan royalti petroleum dapat diselesaikan mengikut perjanjian ditandatangani.
"Saya juga mencadangkan agar menteri besar kelantan dapat pergi berunding dengan perdana menteri dalam kita mengembalikan hak rakyat Kelantan.
"Maka kita berharap kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan berlaku adil selaras dengan semangat federalisme dan teras Malaysia Madani iaitu nilai ihsan," kata dalam ucapan mencadangkan usul berkenaan.
Susulan itu Speaker Abdullah Ya'kub mengisytiharkan DUN Kelantan membuat ketetapan supaya Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob dapat membuat rundingan dengan perdana menteri dengan kadar segera bagi mengembalikan hak royalti minyak kepada rakyat Kelantan.
Ketika undian dibuat tiada sebarang bantahan dibuat oleh mana-mana Adun dan usul tersebut dipersetujui sebulat suara.
