Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JAINJ kesan ahli kumpulan ajaran sesat Sihulk
Diterbitkan:  Mar 21, 2023 10:47 PM
Dikemaskini: 2:47 PM

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan polis sedang mengesan ahli kumpulan ajaran sesat Suhaini Muhammad, atau ringkasnya Sihulk, yang dipercayai menghina Islam serta Nabi Muhammad SAW di aplikasi TikTok baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan bahawa fahaman serta ajaran Sihulk adalah sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariah serta akhlak Islam sejak Julai 2021.

"Video tular mengenai Sihulk ini bermakna ajaran sesat ini masih ada pengikut setia di negeri ini walaupun sudah diharamkan dua tahun lepas... bagaimanapun, JAINJ sudah membuat laporan polis berhubung penularan video itu semalam.

"Situasi ini amat membimbangkan apatah lagi video itu dapat ditonton dengan bebas oleh generasi muda," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Iskandar Puteri hari ini.

Beliau juga berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti 21 fahaman dan ajaran yang dikategorikan sebagai sesat serta diharamkan untuk diamal di Johor.

Katanya antara fahaman dan ajaran yang telah diwarta serta difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng ialah Hadi Minallah, Hizbut Tahrir, Syiah, Wahhabi, Kumpulan Layar Bahtera, Millah Abraham, Al-Arqam dan Kumpulan Black Metal.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi seminit 17 saat memaparkan empat lelaki mengaku menyokong ajaran Sihulk dan menyebut beberapa ayat yang menyeleweng dari segi akidah.

Mohd Fared juga berkata sebanyak 41 masjid dan 68 surau di seluruh Johor rosak akibat bencana banjir sejak 1 Mac lepas sekali gus mengakibatkan kerugian bernilai kira-kira RM1.9 juta.

Beliau berkata daerah Batu Pahat merekodkan jumlah kerosakan paling besar iaitu 28 masjid dan 44 surau diikuti Segamat (enam masjid, 10 surau), Kluang (tiga masjid, tiga surau), Kota Tinggi (dua masjid, dua surau), Muar (satu masjid, empat surau), Tangkak (satu masjid, dua surau) serta Mersing (dua surau) dan kerajaan negeri akan menyediakan bantuan sekali beri sebanyak RM20,000 kepada masjid dan surau terbabit.

"Kita juga melihat kerosakan melibatkan al-Quran, kitab agama serta buku ilmiah yang dianggarkan sebanyak 100 tan di seluruh Johor dengan Batu Pahat sahaja berjumlah lebih 50 tan.

"Kesemua buku ini akan dikumpul untuk dilupuskan mengikut kesesuaian bagi menghormati kedudukan sebagai buku agama," katanya sambil menambah setiap daerah memiliki pusat pelupusan yang menggunakan dua kaedah iaitu mengeringkan sebelum dibakar atau terus dibakar kemudian dimampat dalam bentuk kiub untuk dilepaskan ke lautan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS