Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TikTok: Kami berpandukan garis panduan komuniti, bukan arahan k'jaan
Diterbitkan:  Mar 22, 2023 10:44 AM
Dikemaskini: Mar 23, 2023 8:36 AM

TikTok Malaysia berkata arahan pihak kerajaan tidak akan menjadi penentu kepada operasinya berkaitan pemantauan kandungan.

Ketua dasar awam TikTok Malaysia Hafizin Tajudin juga berkata kerajaan setakat ini tidak membuat percubaan untuk campur tangan dalam operasi media sosial itu.

"Kami tak akan ambil arahan daripada kerajaan. Kami dipandu oleh garis panduan komuniti kami dan memiliki dasar yang tegas berkenaan hal itu (arahan kerajaan).

"Garis panduan kami mengikut piawaian antarabangsa, bermakna kami tertakluk dengan jaminan mutu yang berkesan.

"Misalnya jika kami tidak mematuhi piawaian ini, pasukan (TikTok) global akan dapat mengesan dan menyiasatnya," katanya dalam sesi forum bertajuk “Tackling Hate Speech Online: What do we need to do legally, socially, and politically” semalam.

Mengulas lanjut, Hafizin berkata sebarang libat urus dengan Kementerian Komunikasi dan Digital dan menterinya, Fahmi Fadzil dilakukan atas kapasiti TikTok selaku pemegang taruh dalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dia berkata antara aspek melibatkan kerjasama TikTok dan kerajaan adalah untuk melawan penyebaran maklumat yang salah.

Ia selepas semakin banyak kandungan provokatif dimuat naik di media sosial itu sejurus selepas PRU15, dan tidak dipadam.

"Terdapat lompong kuasa selepas pilihan raya, yang membawa kepada penyebaran kandungan berkenaan 13 Mei di platform ini.

"Adakah berlaku kealpaan di pihak kami? Saya akan jawab tidak kerana apabil kami menerima permohonan SKMM untuk turunkan kandungan, kita telah pun turunkan hampir 2,000 kandungan, kecerdasan buatan (AI) kami telah mengesan pelanggaran itu," katanya lagi.

Hafizin menegaskan TikTok berjaya menurunkan 95 peratus kandungan provokatif.

Bagi tempoh 12 hingga 18 November, sebanyak 857 video diturunkan secara automatik sementara 1,126 video lagi diturunkan antara 20 hingga 26 November oleh TikTok.

Selain video yang diturunkan secara automatik oleh sistem berdasarkan AI, Fahmi sebelum ini berkata SKMM antara 5 Disember tahun lalu hingga 1 Januari juga membuat 202 aduan kepada syarikat itu untuk menurunkan kandungan.

Lihat Komen
ADS