Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tanggungjawab moral saya untuk beritahu Anwar dibayar RM15 juta'

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim menegaskan dia mempunyai tanggungjawab moral, sosial dan politik untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai bayaran sebanyak RM15 juta yang didakwa diterima oleh Anwar Ibrahim.

Ahli parlimen PAS itu berkata demikian sebagai sebahagian daripada pembelaan berhubung keistimewaan yang layak, ulasan yang saksama dan justifikasi terhadap saman fitnah oleh perdana menteri itu.

Pada 22 Dis tahun lepas, Anwar memfailkan saman sivil berhubung kenyataan Amzad bahawa pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berbohong memperoleh gaji RM1 semasa menjadi penasihat ekonomi Selangor.

Saman itu juga difailkan berhubung kenyataan Amzad mengenai pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2018 yang membebaskan Anwar dari penjara atas kes liwat 2.

Anwar yang juga Presiden PKR mendakwa Amzad - melalui video TikTok - membuat beberapa kenyataan berunsur fitnah kepada sekumpulan pelanggan semasa menjamu selera di sebuah restoran pada 7 Dis tahun lepas.

Justifikasi adalah pembelaan bahawa kenyataan atau sesuatu dakwaan adalah fakta dan, jika berjaya dibuktikan di mahkamah, akan menjadi pembelaan mutlak terhadap saman fitnah berkenaan.

Keistimewaan yang layak pula ialah pembelaan yang terpakai dalam situasi di mana kata-kata dikeluarkan oleh seseorang yang mempunyai kepentingan, atau kewajipan undang-undang, sosial atau moral untuk berbuat demikian.

Ulasan yang saksama ialah apabila kenyataan yang disangkal itu dibuat sebagai ulasan yang saksama , bukannya sebagai kenyataan fakta, berhubung isu kepentingan awam.

Menurut pernyataan pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 28 Feb tahun ini dan dilihat oleh Malaysiakini, Amzad berkata kenyataan yang dikeluarkan tidak mempunyai sebarang niat jahat terhadap plaintif.

Defendan berkata ini kerana pengundi berhak menerima komen-komen tersebut bagi membuat pertimbangan terhadap isu-isu semasa membabitkan tindakan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin politik, dan isu berkaitan pengurusan kewangan kerajaan.

Turut dibangkitkan individu lain

Amzad mendakwa kenyataannya berdasarkan fakta bahawa Faekah Hussin - yang pernah menjadi ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) di Selangor - membangkitkan isu tuntutan sebanyak RM15 juta itu.

Menurutnya isu itu turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tanjong Karang ketika itu, Noh Omar semasa perbahasan Belanjawan di Dewan Rakyat pada 2015.

Dia juga menyatakan bahawa Anwar tidak pernah mengambil tindakan undang-undang terhadap Faekah berhubung dakwaan berkenaan.

"Defendan menegaskan bahawa sebagai seorang pemimpin masyarakat, defendan berada di bawah tanggungjawab politik dan/atau moral dan/atau sosial dan/atau undang-undang untuk memaklumkan kepada masyarakat awam, khususnya kepada para pengundi dan masyarakat umum.

"Plaintif selaku seorang politikus seharusnya berani bertanggungjawab atas fakta-fakta yang dinyatakan oleh defendan dan tidak tersinggung dengan teguran, saranan dan kritikan yang dibuat oleh defendan dan masyarakat amnya.

"Defendan menegaskan bahawa defendan tidak pernah mempunyai apa-apa niat jahat ke atas plaintif dalam video TikTok dan pertemuan dan perbualan tidak formal tersebut selain daripada memberi kritikan ke atas plaintif bagi memastikan ketelusan pengurusan kewangan negara," tegas Amzad.

Kes liwat

Mengenai isu pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap Abwar, Amzad berkata umum mengetahui Anwar dihukum penjara selama enam tahun kerana salah guna kuasa oleh Mahkamah Tinggi pada 1999 dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan tersebut pada 2002.

Menurutnya, orang ramai juga mengetahui mengenai kes liwat 1 dan 2 membabitkan plaintif.

Amzad berkata perintah pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong menyatakan bahawa pengampunan tersebut diberikan berkait dengan sabitan atas tuduhan liwat II sahaja tanpa menyebut sabitan atau pertuduhan dalam kes-kes yang lain.

Defendan seterusnya merujuk penghakiman bertulis oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004 yang membebaskan Anwar daripada tuduhan kes liwat 1.

Menurutnya dalam penghakiman bertulis tersebut, Ketua Hakim Negara ketika itu, Abdul Hamid Mohamad menyatakan bahawa Mahkamah Persekutuan percaya bahawa tertuduh (Plaintif) adalah seorang yang terlibat dalam aktiviti homoseksual, sebagaimana petikan berikut:-

"We find evidence to confirm that the appellants were involved in homosexual activities and we are more inclined to believe that the alleged incident at Tivoli Villa did happen,”

(Terdapat bukti untuk mengesahkan bahawa perayu terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami lebih cenderung untuk mempercayai bahawa insiden yang didakwa di Tivoli Villa memang berlaku).

Hamid bagaimanapun berkata "mahkamah hanya boleh mensabitkan perayu jika pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan yang didakwa seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan, di luar keraguan munasabah, atas bukti yang boleh diterima dan mengikut prinsip undang-undang yang ditetapkan".

Anwar sebelum ini mengambil tindakan undang-undang pada 2014 agar Mahkamah Persekutuan membatalkan petikan berkernaan.

Saman fitnah tersebut masih berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Anwar diwakili peguam Sankara Nair, manakala Amzad diwakili Yusfarizal Yussof.

Lihat Komen
ADS