Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sivarraajh gesa kaji semula penamatan pekerja asing dalam 3 subsektor
Diterbitkan:  Mar 23, 2023 12:08 PM
Dikemaskini: 4:10 AM

Senator Dewan Negara, C Sivarraajh menggesa kerajaan tidak menamatkan perkhidmatan pekerja asing yang menggunakan Pas Lawatan Pekerja Sementara (PLKS) untuk bekerja di gedung tekstil, kedai gunting rambut dan kedai emas.

Menurut pemimpin MIC itu, khidmat 15,000 pekerja asing yang kini bekerja dalam tiga sub sektor berkenaan amat penting bagi memastikan survival usahawan dan peniaga tradisional kaum India.

“Perjumpaan saya dengan pemain industri sektor ini mendapati langkah kerajaan boleh membawa kesan buruk kepada survival perniagaan mereka.

"Ketiga-tiga subsektor tersebut antara yang terkesan teruk akibat Covid-19 dan sebahagian besar perusahaan dalam subsektor ini merupakan perusahaan kecil sederhana.

“Kegagalan kerajaan untuk memahami keperluan mereka akan mengakibatkan mereka untuk mengulung tikar,” kata Sivaraaj dalam perbahasan di Dewan Negara.

Jabatan Imigresen pada 28 Feb lepas, mengeluarkan pekeliling yang menyatakan bahawa majikan dalam tiga subsektor berkenaan tidak lagi dibenarkan memperbaharui permit PLKS untuk pekerja mereka mulai 15 Mac 2023.

Sivarraajh berkata, jika kerajaan boleh meluluskan hampir 1,000,000 kuota penggajian pekerja asing untuk sektor lain, maka kerajaan juga harus mempertimbangkan keperluan ketiga-tiga sub sektor ini yang hanya memerlukan 15,000 kelulusan.

Justeru, dia meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, yang mengawal selia ketiga-tiga sub sektor berkenaan, memahami realiti industri berkenaan dan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia untuk merancang tindakan segera.

'Tubuh semula Jawatankuasa Hal Ehwal India'

Sementara itu, Sivarraajh turut meminta kerajaan melihat isu berkaitan peluang pendidikan khususnya di universiti tempatan bagi pelajar India.

Menurutnya, ramai pelajar terpaksa menamatkan pengajian mereka selepas tidak mendapat tempat di universiti tempatan, atau tidak mendapat kursus pilihan mereka.

“Ekoran itu, saya menyeru agar perdana menteri mempertimbangkan penubuhan semula Jawatankuasa Kabinet Hal Ehwal Masyarakat India seperti yang dilakukan ketika pentadbiran perdana menteri Ke-6 di mana perdana mrnteri sendiri boleh menyelesaikan bukan sahaja isu peluang pendidikan tetapi pelbagai lagi isu asas lain yang dihadapi masyarakat India,” katanya.

Perdana menteri ke-6, Najib Razak mempengerusikan jawatankuasa berkenaan yang antara lain berusaha untuk menangani pelbagai isu masyarakat India, termasuk ketiadaan kewarganegaraan, pendidikan, dan perkara berkaitan sosio-ekonomi kaum berkenaan.

Selain itu, Sivarraajh turut mencadangkan penubuhan dana khas untuk masyarakat India yang boleh membantu membiayai perusahaan kecil dan sederhana dengan jumlah lebih besar daripada RM100,000 yang ditawarkan oleh Tekun Nasional.

“Pemerkasaan perusahaan kecil sederhana masyarakat India yang terlibat dalam sektor ekonomi digital juga boleh dilakukan dengan kerjasama strategik di antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS