Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'K'jaan perlu putuskan soal moratorium hukuman mati pada banduan'

Kerajaan perlu membuat keputusan sama ada untuk meneruskan moratorium pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan yang telah dijatuhkan hukuman itu atau tidak, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh.

Ia merupakan isu yang perlu dikendalikan kerajaan sebaik saja Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang (RUU) pemansuhan hukuman mati mandatori, yang dijangka akan dibentang untuk bacaan pertama pada Isnin ini.

Undang-undang itu akan memberi kuasa budi bicara kepada hakim untuk memutuskan hukuman yang wajar berdasarkan fakta kes.

Ramkarpal berkata, selepas undang-undang baru itu diwartakan, banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati boleh memfailkan semakan kehakiman untuk memohon hukuman yang lebih ringan.

"Bergantung kepada Mahkamah Keputusan untuk membuat keputusan terhadap setiap permohonan. Mahkamah mungkin benarkan permohonan (daripada sejumlah pesalah) yang dibuat.

Ramkarpal Singh

"Namun, untuk kes di mana hukuman mati dikekalkan, kerajaan perlu membuat keputusan dasar berkenaannya...sama ada untuk meneruskan moratorium hukuman atau tidak," katanya kepada wakil media dalam taklimat khas berkenaan RUU tersebut pada 21 Mac lalu.


Baca: Dasar baru - Tiada lagi hukuman mati mandatori - Azalina


Ramkarpal berkata demikian ketika ditanya berkenaan apa yang berlaku kepada banduan yang sedang menunggu hukuman mati selepas hukuman mati mandatori dimansuhkan nanti.

Moratorium pelaksanaan hukuman mati telah bermula sejak 2018.

Menurut Ramkarpal, pada masa ini terdapat 1,324 banduan yang sedang menunggu hukuman itu di penjara di seluruh negara, termasuk kira-kira 400 banduan yang masih dalam proses mahkamah.

Dia berkata bagi mereka yang masih dalam proses mahkamah, undang-undang baru itu akan terpakai kepada mereka secara retrospeksi.

Dalam pada itu, dia juga berkata kerajaan juga berhasrat untuk membuat pindaan berkenaan istilah "penjara seumur hidup" dan "penjara sepanjang hayat".

Pada masa ini, undang-undang menakrifkan penjara seumur hidup sebagai hukuman penjara sehingga 30 tahun, sementara penjara sepanjang hayat bermaksud pesalah akan menghabiskan hidupnya di penjara.

"Bagi setiap kesalahan yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat, ini juga akan dimansuh.

"Bermakna tiada lagi hukuman di mana pesalah akan dihukum penjara sehingga dia mati.

"Kami sedang melihat untuk mengehadkan hukuman antara 30 hingga 40 tahun," katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS