Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini menafikan laporan berita yang mendakwa parti itu akan menggugurkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy daripada bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Bercakap kepada pemberita di Klang, Selangor pagi tadi, Loke sebaliknya berkata Pakatan Harapan (PH) masih belum memuktamadkan sebarang senarai calon serta peruntukan kerusi sesama mereka.
“Kita belum bincang... kerusi pun belum selesai, justeru calon belum lagi (dimuktamadkan),” katanya apabila ditanya mengenai perkara itu.
“Calon (kita) hanya akan tahu pada hari penamaan calon,” tambahnya.
Loke ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Selangor di Klang hari ini.

Pada Rabu lalu, akhbar The Star dalam laporannya mendakwa Ramasamy - yang merupakan Adun Perai - mungkin digugurkan daripada senarai calon PH untuk PRN Pulau Pinang tidak lama lagi.
Laporan itu memetik bahawa Ramasamy akan diminta berundur kerana DAP berhasrat untuk memberi laluan kepada muka baru dalam kepimpinan mereka.
Ramasamy, 74, yang telah berkhidmat sebagai wakil rakyat DAP selama tiga penggal iaitu sejak PRU ke-12 pada 2008, juga menafikan laporan berita itu.
Dia dikenali sebagai pemimpin politik yang lantang dan mencetuskan beberapa kontroversi kerana kenyataannya.
Rundingan sedang berjalan
Feb lalu misalnya dia menggesa perdana menteri "memecahkan monopoli orang Melayu" dalam perkhidmatan awam.
Loke bagaimanapun membalas kenyataan tersebut dengan mengatakan bahawa DAP akan menangani isu tersebut secara dalaman.
Ditanya mengenai perkara tersebut hari ini dan jika ada sebarang tindakan diambil ke atas Ramasamy, Loke berkata parti itu masih "berurusan dengannya."
“Masanya akan tiba,” tambah ahli parlimen Seremban itu.
Sementara itu, semasa ucapan perasmiannya di Konvensyen DAP Selangor, Loke berkata parti itu meletakkan sasaran minimum untuk mengekalkan 16 kerusi DUN mereka pada PRN akan datang.
Mengulas lanjut, Loke juga berkata DAP tidak menolak kemungkinan untuk bertanding lebih banyak namun ia bergantung kepada keadaan serta rundingan di antara parti kerajaan.

“Apa yang kita tahu, mungkin menteri besar (Amirudin Shari) nak memberi peluang kepada kami untuk bertanding lebih banyak kali ini,” guraunya kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, yang turut hadir pada sidang media itu.
Menurut Loke, PH dan parti komponennya di peringkat persekutuan masih berunding mengenai kerusi untuk PRN di enam negeri tidak lama lagi.
Dia juga tidak menolak kemungkinan DAP memberi laluan kepada Muda di beberapa kerusi di Selangor.
“Rundingan sedang berjalan,” kata Loke ketika ditanya sama ada DAP akan mempertimbangkan untuk memberikan kerusi yang diperuntukkan kepada Muda.
Amirudin pula berkata dia yakin PH mampu mendapatkan jumlah yang mencukupi untuk terus menjadi kerajaan di Selangor selepas PRN akan datang.
Dia mengakui pilihan raya umum baru-baru ini menyaksikan sedikit penurunan sokongan terhadap PH di beberapa kawasan, Amirudin berkata dia tetap yakin ia boleh ditangani oleh gabungan kerajaan.
“Seperti di (kerusi parlimen) Hulu Selangor, PH berjaya mendapat undi yang sangat ketara di Kuala Kubu Bharu, dengan majoriti yang kita dapat adalah besar, jika kita hendak kira mengikut kawasan DUN.
"Tetapi kita perolehi (undi yang) sikit gagal di (kawasan) Batang Kali dan Hulu Bernam. Dan saya rasa ini boleh diperbaiki kerana kita mempunyai kerajaan perpaduan."
Pada PRU ke-15 tahun lalu Hasnizan Harun dari PN menewaskan Dr Sathia Prakash Nadarajan dari PH di kerusi Hulu Selangor dengan majoriti 1,562 undi.
