Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seratus tiga puluh tujuh Orang Asli daripada suku Bateq Mayah memohon mahkamah sivil membatalkan status Islam mereka berikutan penukaran agama beramai-ramai yang didakwa menyalahi undang-undang pada 30 tahun lalu.

137 plaintif, melalui peguam daripada firma guaman Fahri Azzat & Co, memfailkan writ saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Sept tahun lepas.

Tindakan sivil itu menamakan enam defendan iaitu Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), pengarah dan pegawainya, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang (Muip), kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Menurut kenyataan tuntutan yang dilihat oleh Malaysiakini, mereka mendakwa penukaran agama yang salah dan haram itu dilakukan di rumah mereka di Kampung Benchah Kelubi, Merapoh, Kuala Liipis, Pahang, pada April 1993.

‘Diseksa jika lari ke gunung’

Kertas kausa mendakwa bahawa 57 daripada plaintif telah bertukar agama semasa kejadian itu manakala baki plaintif adalah anak mereka, yang dilahirkan kemudian dan juga mempunyai perkataan Islam pada kad pengenalan mereka kerana keturunan.

Plaintif mendakwa bahawa pada awal 1993, wakil Jakoa bukan sahaja telah meminta dua ketua kampung untuk memeluk agama Islam tetapi juga meminta penduduk kampung lain berbuat perkara yang sama.

Mereka mendakwa apabila penduduk kampung enggan berbuat demikian, seorang pegawai Jakoa yang melawat kampung itu telah mengeluarkan beberapa ugutan untuk memastikan penukaran agama mereka.

Antara ancaman itu ialah penduduk kampung tidak akan dibenarkan tinggal di kampung itu lagi, rumah dan tanaman mereka akan dimusnahkan, orang kampung akan dihalau dan diseksa jika mereka lari ke gunung.

Plaintif mendakwa bahawa penduduk kampung tidak dimaklumkan tentang implikasi undang-undang apabila memeluk Islam, iaitu mereka akan tertakluk kepada rangka kerja perundangan Islam Pahang dan anak yang dilahirkan kepada mereka secara automatik juga beragama Islam.

Mereka mendakwa bahawa kemudiannya, pegawai Jakoa yang sama datang semula ke kampung itu bersama beberapa orang pegawai Muip, di mana pegawai-pegawai ini mengumpulkan penduduk kampung di kawasan lapang dan meminta mereka membaca “Kalimah Syahadah”.

Plaintif mendakwa penduduk kampung sama ada membuat cubaan untuk mengulangi apa yang dikatakan oleh pegawai tersebut atau tidak mengulangi langsung apa yang dilafazkan oleh defendan berkenaan.

Mereka juga berkata penduduk kampung tidak faham apa yang dimaksudkan dengan “Kalimah Syahadah” dan bagaimana kehidupan mereka akan berubah selepas memeluk Islam.

Mereka mendakwa pegawai itu mengambil nama semua penduduk kampung sebelum beredar.

Terus amal kepercayaan Bateq Mayah

Bagaimanapun, plaintif mendakwa walaupun mereka menganut atau mengamalkan Islam berikutan penukaran agama secara besar-besaran itu namun mereka terus mengamalkan kepercayaan budaya serta agama Bateq Mayah.

Mereka mendakwa bahawa selepas tahun 2,000 apabila lebih ramai penduduk kampung belajar bercakap asas Bahasa Malaysia, mereka kemudian menyedari bahawa perkataan "Islam" tertera pada kad pengenalan mereka.

Mereka berhujah bahawa Bateq Mayah, yang mengamalkan animisme, adalah kumpulan rentan yang bergantung kepada defendan untuk melindungi cara hidup mereka daripada pemodenan dan eksploitasi mengikut Akta Orang Asli 1954.

"Pada tahun 1993, Defendan telah mengeksploitasi pengaruh mereka ke atas Orang-orang Asli di Kampung tersebut dan, dalam melanggari kewajipan mereka terhadap Orang-orang Asli di situ, mereka telah dengan secara salah, secara haram serta menggunakan paksaan, mengislamkan orang-orang asli tersebut.

"Dengan berbuat sedemikian, mereka telah melanggar kewajipan mereka untuk melindungi dan memelihara kepercayaan budaya dan agama Orang-orang Asli tersebut,” kata plaintif.

Mereka mendakwa bahawa sekitar 2004, mereka menghubungi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk mendapatkan bantuan, yang kemudiannya menyediakan laporan 2013 bertajuk "Laporan Siasatan Kebangsaan terhadap Hak Tanah Orang Asal".

Bagaimanapun, mereka mendakwa isu penukaran agama secara besar-besaran tidak diketengahkan dalam laporan itu.

Plaintif mendakwa penukaran agama beramai-ramai itu adalah menyalahi undang-undang dan melanggar Seksyen 101 Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam (Pahang) 1991 kerana penduduk kampung tidak mengucapkan Kalimah Syahadah dalam bahasa Arab yang boleh difahami secara munasabah, tidak mengetahui maksud frasa tersebut kerana buta huruf, dan tidak dilakukan dengan kerelaan atas kehendak bebas.

Mereka memohon beberapa pengisytiharan mahkamah, antaranya bahawa plaintif bukan orang yang menganut agama Islam; bahawa mana-mana orang yang dilahirkan oleh plaintif selepas pemfailan saman ini bukanlah orang yang menganut agama Islam; dan bahawa plaintif mempunyai hak untuk mengamalkan dan mengaku kepercayaan rohani dan budaya mereka sendiri tanpa sebarang gangguan daripada defendan.

Mereka juga menuntut ganti rugi am untuk dinilai oleh mahkamah serta ganti rugi teladan dan/atau ganti rugi teruk, faedah lima peratus ke atas jumlah penghakiman yang diberikan, kos dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Lima daripada defendan telah memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan mahkamah atas beberapa hujah, antaranya tindakan sivil difailkan 29 tahun selepas dakwaan penukaran agama secara besar-besaran, dan dengan itu difailkan di luar masa mengikut Seksyen 2 Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 dan Seksyen 6 Akta Had Masa 1953.

Defendan lain Muip telah memfailkan permohonan untuk mempertikaikan bidang kuasa mahkamah sivil untuk mendengar kes itu kerana isu yang dibangkitkan dalam tindakan sivil itu terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah negeri Pahang.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah menetapkan 17 April untuk pengurusan kes bagi permohonan plaintif untuk memindahkan tindakan sivil ke Mahkamah Tinggi di Kuantan.

Jabatan Peguam Negara bertindak bagi pihak kerajaan persekutuan serta Jakoa, pengarah dan pegawainya. Penasihat undang-undang Pahang mewakili kerajaan negeri.

Firma guaman Syahidah Sharul & Marsyara mewakili Muip.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS