Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengemukakan usul tergempar untuk membincangkan kesan lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi minggu lalu.

Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam satu sidang media hari ini turut mencadangkan agar sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18(1) dan (2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat.

Katanya melalui peraturan itu sesuatu isu yang khusus, perlu disegerakan dan membabitkan kepentingan awam boleh dibincangkan dalam dewan.

Ahli parlimen Machang itu berkata, isu tersebut membabitkan pelbagai aspek seperti ekonomi dan hubungan dua hala Malaysia - Arab Saudi, termasuk mengenai serta perincian perbelanjaan lawatan rasmi Anwar.

“Apakah benar Arab Saudi tak nak jumpa YAB PM? Sebab kalau kita tengok laporan-laporan agensi media Arab Saudi Raja Salman (Abdulaziz) dan Putera Mahkota Mohammed Salman Al-Saud, YAB PM pada masa tu, mereka bukan ada di luar negara.

“Ini menimbulkan persoalan apakah hubungan Malaysia dan Arab Saudi jadi dingin? Mungkin sebab penutupan King Salman Centre for International Peace ketika zaman kerajaan Pakatan Harapan dulu.

“Ini antara timbulnya persoalan layanan yang diberikan sebegini rupa,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Machang itu berkata layanan sedemikian memberikan gambaran membimbangkan kepada rakyat Malaysia kerana ia mampu memberikan kesan kepada kepentingan rakyat negara ini seperti kuota jemaah haji dan jumlah bantuan penjualan minyak kelapa sawit dari Arab Saudi.

“Jadi, kalau perkara ini tak dirungkaikan oleh YAB Tambun (Anwar), esok ada sesi PMQT (waktu pertanyaan kepada perdana menteri), kami (PN) harap soalan yang kami bawa diangkat oleh Speaker (Dewan Rakyat Johari Abdul) untuk dijawab oleh PM.

“Kami akan ada (di Dewan Rakyat esok), kami tak lari, kami tak buat laporan polis ke apa, kami nak dengan jawapan beliau (PM) di Dewan Rakyat yang mulia ini,” katanya.

Untuk rekod, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi dalam satu kenyataan menjelaskan kerajaan Arab Saudi meminta Anwar untuk melanjutkan tempoh lawatan rasmi ke negara bagi menyusun pertemuan antara beliau dan pemimpin negara berkenaan.

Bagaimanapun katanya, Anwar menolak permintaan berkenaan secara baik kerana dia telah dijadualkan hadir ke majlis berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Mengulas lanjut, Wan Fayhsal mempersoalkan mengapa lawatan itu dibuat tergesa-gesa dan berharap kerajaan tidak mengulangi kesilapan yang disifatkan memalukan itu.

“Ini satu kebimbangan yang jelas, nyata malukan negara. Kami tak nak salahkan Wisma Putra atau kerajaan Arab Saudi.

“Yang kami nak tanya kenapa pejabat perdana menteri boleh buat lawatan yang tergesa-gesa, yang mengatakan seolah-olah memang ada jemputan rasmi tapi sebenarnya tak ada.

“Ini memalukan Malaysia dan Arab Saudi. Kami tuntut jawapan tuntas daripada perdana menteri dan juga daripada Menteri Luar Negeri Zambry Abdul Kadir berhubung masalah ini. Jangan kita ulangi kesilapan-kesilapan yang boleh merugikan negara,” katanya.

Sementara itu Ahmad Fayshal dalam hantaran di media sosial menyatakan usul tersebut diterima oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul pada jam 9.50 pagi hari ini.

Menurutnya, dia jug menghantar soalan berhubung hal ini untuk sesi soal jawab perdana menteri (PMQT) yang dijadualkan pagi esok.

Lihat Komen
ADS