Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Sistem pengangkutan rel selamat menepati konsep Madani
Diterbitkan:  Mar 28, 2023 9:30 AM
Dikemaskini: 4:36 AM

ULASAN | Malaysia Madani adalah visi untuk negara maju, inklusif dan lestari sejajar dengan Rancangan Transformasi Nasional 2050. Salah satu komponen penting untuk mencapai visi ini adalah pengembangan sistem pengangkutan kereta api yang selamat dan efisien.

Sistem pengangkutan kereta api yang selamat bukan sahaja dapat meningkatkan keselamatan penumpang dan kakitangan tetapi juga menyumbang untuk mencapai Malaysia Madani. Madani adalah singkatan dari enam nilai teras Malaysia iaitu Kesederhanaan, Kebertanggungjawaban, Disiplin, Integriti, Kepercayaan, dan Tanggungjawab. Sistem pengangkutan kereta api yang selamat dan boleh dipercayai mempromosikan nilai-nilai ini dalam beberapa cara khususnya sistem pengangkutan lestari.

Sistem pengangkutan kereta api yang selamat juga menyumbang untuk mencapai komponen inklusiviti Malaysia Madani dengan menyediakan pengangkutan yang selamat dan berpatutan untuk semua warganegara, termasuk mereka yang berada di luar bandar. Pengangkutan kereta api turut mendorong kebertanggungjawaban dengan memastikan pengendali perkhidmatan mematuhi peraturan dan garis panduan keselamatan.

Sejak dua dekad yang lalu, Malaysia telah menjalankan pelbagai usaha melibatkan pelaburan yang besar dalam meningkatkan keselamatan sistem kereta api. Menurut statistik dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Agensi Pengangkutan Awam dan Darat (Apad), kadar kemalangan pengangkutan kereta api di Malaysia jauh lebih rendah berbanding dengan pengangkutan jalan raya.

Pada tahun 2019, terdapat sejumlah 7,148 kemalangan jalan raya yang melibatkan bas dan lori, yang mengakibatkan 1,764 kematian. Sebagai perbandingan, hanya terdapat 15 kemalangan kereta api, yang mengakibatkan lima kematian. Ini menunjukkan bahawa kadar kemalangan untuk pengangkutan kereta api jauh lebih rendah daripada pengangkutan jalan raya di Malaysia.

Sejajar dengan usaha kerajaan menaik taraf sistem pengangkutan kereta api di Malaysia, Malaysian Railway Roadmap telah dilancarkan. Dokumen ini merupakan perancangan strategik yang dirancang untuk memodenkan dan memperluas infrastruktur kereta api negara. Pelan yang merangkumi tempoh dari 2018 hingga 2030, bertujuan untuk mengubah sistem kereta api Malaysia menjadi rangkaian bertaraf dunia dengan persekitaran yang selamat, cekap dan lestari.

Objektif utama pelan adalah untuk meningkatkan kapasiti dan kecekapan sistem kereta api, meningkatkan pengalaman pelanggan dan mempromosikan penggunaan pengangkutan awam. Bagi mencapai objektif ini, pelan tersebut menggariskan beberapa inisiatif, termasuk sistem pengangkutan kereta api landasan berkembar, perluasan jajaran rangkaian baru kereta api seperti MRT dan LRT, penambahbaikan kepada teknologi baru untuk meningkatkan kecekapan pengurusan operasi dan penyelenggaraan.

Perkembangan ini telah menyumbang kepada kadar kemalangan yang rendah dalam pengangkutan kereta api di Malaysia. Namun, negara masih menghadapi beberapa cabaran dalam memastikan keselamatan sistem pengangkutan rel adalah selamat serta mencapai tahap perkhidmatan yang diperlukan rakyat.

Sejak 2000, beberapa insiden berprofil tinggi telah menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan kereta api bandar di Malaysia. Insiden ini telah mendorong kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya. Justeru, pada 2009, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kini dikenali sebagai Apad telah dibentuk dengan fungsi utama memantau dan mengawal keselamatan sistem pengangkutan awam negara.

Suruhanjaya telah memperkenalkan peraturan keselamatan yang lebih ketat dan peningkatan pemeriksaan infrastruktur kereta api. Apad turut terlibat dalam penyiasatan insiden dan melakukan audit keselamatan dan pemeriksaan berkala bagi memastikan pengendali perkhidmatan kereta api mematuhi peraturan keselamatan.

Meskipun pelbagai usaha yang telah dilaksanakan, namun masalah melibatkan keselamatan kereta api masih berlaku khususnya melibatkan kereta api antara bandar dan jajaran kereta api bandar. Beberapa faktor telah dikenal pasti menyumbang kepada kemalangan ini. Salah satu faktornya ialah infrastruktur kereta api yang telah mencapai jangka hayat yang sepatutnya telah menjalani proses menaik taraf atau pengubahsuaian bagi memastikan ketersediaan perkhidmatan kereta api dapat dicapai.

Selain itu, sebilangan besar landasan kereta api di Malaysia telah dibina beberapa dekad yang lalu, dan kehausan di landasan telah menyumbang kepada masalah keselamatan. Kurangnya peruntukan kewangan bagi menjalankan proses penyelenggaraan dan peningkatan infrastruktur kereta api secara berkala yang sepatutnya mengikut tempoh yang ditetapkan juga telah menyumbang kepada masalah keselamatan.

Dalam usaha mengurangkan insiden melibatkan kereta api, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh kebanyakan pemain industri kereta api. Sebagai contoh, salah satu cabaran utama yang dihadapi sistem kereta api bandar di Malaysia adalah kekurangan dana pelaburan untuk penyelenggaraan dan membaik pulih kereta api yang telah rosak. Sebilangan besar kereta api negara dibina pada tahun 1990-an dan sejak itu tidak mendapat penambahbaikan yang ketara. Ini telah menyebabkan masalah seperti degradasi trek dan peralatan yang tidak berfungsi.

Kerajaan perlu meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur kereta api. Lebih banyak dana akan membolehkan kerajaan meningkatkan infrastruktur sedia ada dalam usaha meningkatkan hubungan sistem pengangkutan antara penduduk luar bandar dan penduduk bandar. Peningkatan pelaburan juga akan membantu membeli alat ganti baru, yang akan mengurangkan risiko kerosakan dan meningkatkan ketersediaan perkhidmatan kereta api.

Faktor lain yang perlu diambil berat ialah kurangnya budaya keselamatan dalam kalangan kakitangan kereta api. Ini termasuk kegagalan mengikuti protokol dan polisi keselamatan, selain polisi dan protokol keselamatan yang tidak ditambah baik selaras dengan keperluan di peringkat antarabangsa, yang telah mengakibatkan kejadian seperti pelanggaran dan kegelinciran kereta api. Budaya keselamatan dalam kalangan pekerja sangat penting. Budaya keselamatan ini merujuk kepada nilai, sikap dan kepercayaan bersama tentang pentingnya keselamatan dalam kalangan pekerja dan organisasi secara keseluruhan.

Kepemimpinan, komunikasi, latihan dan pendidikan, dasar dan prosedur keselamatan serta peningkatan berterusan adalah faktor utama bagi mempromosikan budaya keselamatan dalam industri kereta api. Budaya keselamatan yang kuat dapat membantu mencegah kemalangan dan insiden, mengurangkan risiko dan meningkatkan prestasi keselamatan secara keseluruhan.

Kesilapan manusia juga merupakan faktor penting dalam kejadian kemalangan kereta api. Ini termasuk kesilapan yang dilakukan oleh pemandu kereta api, pengendali isyarat dan pematuhan pekerja terhadap standard pengoperasian yang selaras dengan garis panduan antarabangsa terkini. Tingkah laku pemanduan dan daya penumpuan semasa pemanduan juga merupakan faktor kepada peningkatan kesilapan manusia yang menyumbang kepada kemalangan.

Selain itu, terdapat beberapa kegagalan teknikal dalam sistem isyarat dan komunikasi, yang menyebabkan kemalangan. Keberkesanan system redundancy yang masih kurang khususnya bagi komponen kritikal seperti alat komunikasi serta sistem rangkaian ini antara penyumbang terhadap masalah keselamatan.

Tambahan pula, kegagalan mengenal pasti punca kerosakan dalam tempoh masa yang tepat juga menyumbang kepada kelewatan mencari jalan penyelesaian. Kebergantungan kepada tenaga pakar luar negara di samping kelewatan menunggu stok alat ganti dari luar negara juga telah menyebabkan peningkatan kos dan kegagalan mencapai tahap ketersediaan perkhidmatan kereta api yang sepatutnya.

Masyarakat juga turut memainkan peranan dalam memastikan sistem pengangkutan kereta api di Malaysia mencapai tahap keselamatan yang sepatutnya.  Faktor kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya langkah-langkah keselamatan dan kepentingan melaporkan masalah keselamatan juga telah menyumbang kepada kemalangan kereta api. Penumpang dikhuatiri tidak mengetahui prosedur kecemasan atau mungkin gagal melaporkan masalah keselamatan, seperti pintu yang tidak berfungsi atau tidak memahami isyarat amaran.

Kesimpulannya, faktor yang menyumbang kepada kemalangan kereta api di Malaysia merangkumi pelbagai aspek dan memerlukan pendekatan yang lebih komprehensif untuk menangani isu yang melibatkan keselamatan pengguna kereta api.

Ini termasuk peningkatan pelaburan dalam penyelenggaraan dan peningkatan infrastruktur kereta api, digitalisasi sistem-sistem legasi, meningkatkan budaya keselamatan dalam kalangan pekerja melalui pensijilan profesional dalam bidang kereta api dan peningkatan taraf pendidikan, menangani kegagalan teknikal dengan menjalinkan kerjasama bersama pakar industri dan pusat penyelidikan dari universiti tempatan dan antarabangsa, pengukuhan peraturan keselamatan yang tepat dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang langkah-langkah keselamatan melalui kempen keselamatan.

Meskipun Malaysia masih menghadapi cabaran dalam memastikan keselamatan kereta api, namun usaha kerajaan ke arah perubahan tidak harus dipandang sepi. Perubahan-perubahan kecil telah mula dijalankan dan secara tidak langsung usaha tersebut adalah bagi meningkatkan mutu perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.

Sebagai sebuah negara yang melabur dalam pengangkutan awam, keutamaan terhadap keselamatan menjadi hal utama bagi memastikan penumpang yakin dengan perkhidmatan. Pengangkutan kereta api yang selamat dan mencapai kebolehpercayaan yang tinggi telah meningkatkan tanggungjawab serta mendorong masyarakat menggunakan pengangkutan awam. Nilai ini secara tidak langsung memenuhi kerangka Madani seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.


Prof Madya Dr Nor Aziat Abdul Hamid adalah penyelidik kanan Pusat Kecemerlangan Industri Rel, manakala Nuramira Najihah Baharin adalah pelajar Sarjana Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS