Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Royalti minyak: PAS main politik bermusim, kata pemimpin PH
Diterbitkan:  Mar 28, 2023 11:00 AM
Dikemaskini: 3:00 AM

PAS bermain politik bermusim apabila mendesak kerajaan memberi bayaran royalti petroleum kepada Kelantan dan Terenggan seperti disuarakan oleh Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Bahrin Shah, berkata sedangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri yang memansuhkan bayaran royalti berkenaan.

"Kenyataan ahli Parlimen PAS, Ahmad Fadhli, yang Terengganu dan Kelantan yang  mahukan royalti dan bukan wang ehsan berbunyi agak pelik dan lucu.

Ahmad Fadhli Shaari

"Kerana  kerajaan PH pada tahun 2019 di bawah Dr Mahathir (Mohamad) telah pun mengembalikan royalti tetapi ianya telah dibatal semula oleh kerajaan PN sendiri yang disertai PAS  pada tahun 2021.

"Menteri kewangan PN, Tengku Zafrul (Abdul Aziz), pada Nov 2021 telah mengumumkan-  'Kerajaan PN di bawah Muhyiddin tidak akan membayar  royalti minyak pada mana-mana negeri di semenanjung termasuk Terengganu dan Kelantan tetapi akan membayar wang ehsan untuk hasil petroleum yang diperolehi di pesisir pantai.'," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lebih aneh lagi katanya, kesemua nenteri dan juga timbalan menteri PAS dalam kerajaan PN pada masa itu tidak membantah atau bersuara atas tindakan kerajaan PN tersebut.

Katanya, selepas 22 tahun royalti ditarik balik pada tahun 1999, kerajaan PH telah mengembalikan royalti, namun kerajaan PN Muhyiddin telah merampasnya kembali.

Semalam, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dilaporkan menuntut Putrajaya membayar royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan dan Terengganu, bukannya merangka semula dasar serta skop penggunaan wang ehsan.

Katanya, tiada dasar tetap dalam pemberian wang ehsan sebelum ini kerana ia berubah setiap kali kerajaan persekutuan bertukar tangan.

“Wang ehsan tidak pernah ada dasar, yang kita nak ialah royalti yang termaktub dalam perjanjian. Jadi, saya tak tahu apa yang dimaksudkan merangka semula polisi wang ehsan sebab ia tak pernah ada dasar, ia hanya berubah apabila kerajaan bertukar.

“Kita minta kerajaan kekal dengan pendirian memberi royalti sepertimana termaktub dalam perjanjian,” kata ketua Pemuda PAS itu seperti dilaporkan sebuah portal berita.

Raja Bahrin mengimbau satu forum dikendalikan oleh Dewan Perniagaan Melayu Terengganu di Kuala Terengganu seminggu sebelum pilihan raya umum (PRU) yang lalu pada Nov 2022 dan wakil PH telah membangkitkan pertanyaan kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang ketika itu Timbalan Menteri dari PAS, Amzad Hashim, jika parti itu berhasrat untuk menuntut semula royalti.

"Beliau telah menjawab kerajaan Terengganu tidak ada masaalah menerima wang hasil minyak dari kerajaan pusat yang di terima seperti biasa. Beliau tidak menyebut langsung isu royalti atau hasrat untuk menuntutnya kembali.

"Kenapa kini royalti menjadi isu kembali setelah PH memerintah? Sudahkah PAS ketandusan isu atau hanya ingin bermain wayang?

"PAS amat konsisten menjadi agresif membawa isu isu menyentuh sentimen dan  emosi apabila  menjadi pembangkang tetapi bisu dan kaku tidak bermaya untuk bertindak apabila berkuasa menjadi kerajaan pusat," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS