PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk memindahkan kuasa untuk memilih ketua pesuruhjaya SPRM baharu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC).
Bagaimanapun, Anwar memaklumkan kepada Dewan Rakyat hari ini bahawa perkara itu perlu disemak oleh agensi kerajaan terlebih dahulu.
“Soalnya sekarang, kalau ada pelantikan baru atau penyambungan (kontrak perkhidmatan ketua pesuruhjaya SPRM), apakah kaedah dikenakan ia terserah kepada kemajuan yang dibuat oleh parlimen.

“Sekiranya mekanisme proses seperti mana yang diputuskan, dicadangkan oleh Transparency International - Malaysia dan beberapa badan lain diteliti oleh Jabatan Peguam Negara dan agensi kerajaan, kemudian dipindahkan kepada jawatankuasa pilihan dan proses ini sempat, maka proses tu tak ade masalah sama sekali.
“Jadi proses itu dihormati,” katanya.
Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) pada sesi Waktu Soalan Perdana Menteri (PMQT) pagi tadi.
Mas Ermieyati ingin tahu sama ada perdana menteri boleh memberi jaminan bahawa sebarang keputusan untuk melantik ketua pesuruhjaya SPRM baharu atau melanjutkan perkhidmatan Azam Baki sekarang akan dibincangkan di Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Ini susulan Azam akan mencapai umur persaraannya dalam masa beberapa bulan lagi, menurut Mas Ermieyati.
Azam sebelum ini berkata SPRM terbuka kepada reformasi parlimen yang akan memberi kesan kepada suruhanjaya itu.
Bagaimanapun, dia memberi amaran bahawa meletakkan SPRM di bawah Parlimen akan mendedahkan suruhanjaya pencegahan rasuah itu kepada campur tangan politik.
Terdahulu semasa mengemukakan soalannya, Mas Ermieyati turut mengingatkan Anwar berhubung janji reformasi PH.
“Kebetulan, kedengaran KP SPRM akan tamat (perkhidmatannya) dalam masa beberapa bulan lagi.

“Bolehkah PM beri jaminan pelantikan baru atau penyambungan kontrak KP sekarang dibawa ke jawatankuasa khas parlimen dengan segera untuk dibincangkan dan jika tidak, tidakkah ia memberikan gambaran bahawa komitmen PM kepada agenda reformasi ini dah takde.
“Malah kalau pelantikan dibuat sendiri oleh Tambun(Anwar) sebagai PM akan kuatkan lagi sangkaan rakyat bahawa ada deal (perjanjian) yang sedang diatur oleh PM,” kata Mas Ermieyati.
Menjawab soalan itu, Anwar menegaskan kepada wakil Masjid Tanah tersebut bahawa presiden partinya, Muhyiddin Yassin yang melantik Azam memegang jawatan itu pada 2020.
Muhyiddin, yang merupakan pengerusi PN, adalah perdana menteri ketika itu.

Mengikut Akta SPRM 2009, seorang ketua pesuruhjaya SPRM dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong - berdasarkan nasihat perdana menteri.
“Di bawah undang-undang sedia ada, SPRM adalah badan bebas. Pelantikan KP SPRM itu (dibuat) oleh Pagoh (Muhyiddin). (KP SPRM) yang sedia ada ini oleh Pagoh.
“Kena jelas dan diperakui sebagai orang yang wibawa dan bebas oleh Pagoh. Sebab itu apabila saya mengambil alih (sebagai PM), saya memutuskan untuk tidak menukar KP SPRM, yang dipilih oleh Pagoh (Muhyiddin).
"Ini kerana saya mahu menghentikan persepsi bahawa setiap kali ada perdana menteri baru, pemimpin itu akan melantik ketua SPRM baharu," katanya.

Sementara itu, Anwar memaklumlan kepada Dewan Rakyat bahawa dia juga bersetuju dengan cadangan supaya jawatan peguam negara dipisahkan daripada pendakwa raya.
“Cadangan ini dalam kajian. Dan ada cadangan untuk pisahkan. Perkara ini agak rumit sedikit, setuju untuk dipisahkan.
“Kiat kena teliti implikasi (kewangan) hampir RM300 juta tambahan. Saya setuju dia bukan pertimbanagan utama.
“Yang diutamakan adalah untuk pastikan proses jabatan peguam negara dan pendakwa raya yang lebih telus dan bebas,” katanya menjawab soalan yang dikemukakan oleh Chiew Choon Man (PH - Miri).
