Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembangunan lapan kapal selam Australia tidak dilengkapi senjata nuklear
Diterbitkan:  Mar 30, 2023 1:33 PM
Dikemaskini: 5:33 AM

Pembangunan lapan kapal selam berkuasa nuklear oleh Australia hanya menggunakan enjin berkuasa nuklear dan tidak dilengkapkan dengan senjata nuklear, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, ia selaras komitmen negara itu di bawah Treaty on the Non-Proliferation of Nuclear Weapons (NPT).

Mohamad berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri kepada beliau oleh Panglima Angkatan Tentera Australia yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Australia ketika datang memberikan penerangan pada 9 Mac lepas.

“Penerangan ini disusuli oleh panggilan telefon dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat pada 10 Mac 2023 dan terkini semasa sesi pertemuan Minister of State at the Ministry of Defence United Kingdom pada 28 Mac 2023,” katanya pada sesi waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mahu tahu pendirian Malaysia berikutan pakatan pertahanan AUKUS dengan Australia akan membeli lapan buah kapal selam perang nuklear berharga AUD368 bilion dan kesannya kepada keselamatan negara-negara ASEAN berdasarkan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali atau ZOPFAN.

Mohamad berkata, semasa sesi penerangan tersebut beliau telah menjelaskan bahawa pendirian dan prinsip Malaysia berhubung pelaksanaan perkongsian keselamatan tiga negara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), yang dikenali dengan singkatan AUKUS, adalah tetap dan tidak berubah.

“Malaysia menggesa agar semua pihak sama ada di dalam mahupun di luar pakatan AUKUS ini, untuk saling menghormati dan mematuhi sepenuhnya instrumen perundangan negara dan antarabangsa sedia ada, terutamanya berhubung dengan pengoperasian kapal selam berkuasa nuklear dalam perairan negara,” katanya.

Katanya, ia termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Deklarasi ASEAN mengenai Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN).

Pada 14 Mac lepas, Wisma Putra turut mengeluarkan kenyataan sama berhubung pendirian tersebut dan turut menggesa agar semua pihak tidak melakukan sebarang aktiviti yang bersifat provokasi dan boleh menganggu ketenteraman dan keselamatan di rantau ini.

Mohamad berkata sebagai anggota ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai ZOPFAN termasuklah dalam isu berkaitan perlucutan senjata nuklear, pencegahan percambahan nuklear dan penggunaan teknologi nuklear secara aman.

Menjawab soalan Lim sama ada lapan kapal selam tersebut akan dibenarkan beroperasi dalam rantau perairan negara ASEAN, Mohamad berkata berdasarkan undang-undang antarabangsa UNCLOS 1982, mana-mana kapal atau pesawat diberi kebebasan pelayaran atau penerbangan di laut lepas atau Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) mana-mana negara,.

Bagaimanapun, aktiviti tersebut tertakluk dengan peraturan dan undang-undang negara pesisir (selagi mana tidak bertentangan dengan UNCLOS 1982), katanya.

“UNCLOS 1982 juga menyatakan bahawa mana-mana kapal selam yang melalui laut wilayah negara lain, perlulah sentiasa berada di permukaan air dan peraturan ini juga terpakai di Malaysia serta negara pesisir lain di Asia Tenggara.

“Sungguhpun begitu, sekiranya ada kapal selam negara asing, sama ada berkuasa konvensional atau berkuasa nuklear, yang ingin belayar di bawah permukaan air di dalam perairan negara, tentera laut negara asing perlu mengemukakan permohonan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia melalui nota diplomatik bagi mendapatkan kelulusan khas,” katanya.

Peraturan itu juga terpakai sekiranya ada kapal selam atau kapal perang yang ingin memasuki mana-mana pelabuhan di Malaysia.

Pada masa sama Mohamad berkata, Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean-Plus (ADMM-Plus) dijadualkan pada Julai di Indonesia juga dijangka akan membincangkan berhubung isu AUKUS.

Katanya, mesyuarat itu yang memfokuskan kepada hubungan pertahanan dan kerjasama ASEAN dengan negara luar wilayah, turut akan menyaksikan penyertaan enam negara termasuk Australia dan Amerika Syarikat.

Menjawab soalan tambahan Lim berhubung kebenaran kapal selam melalui perairan negara, Mohamad berkata selama ini sebarang pelayaran misalnya kapal selam daripada negara-negara sekutu terutama dalam Five Power Defence Arrangements (FPDA) dianggotai Australia, New Zealand, United Kingdom, Malaysia dan Singapura, telah mendapat kebenaran.

“Semua kebenaran itu ada didapati dan mereka menghormati undang-undang laut antarabangsa seperti disebut dalam UNCLOS 1982,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berhubung langkah bagi memastikan keselamatan dan pertahanan negara memandangkan terdapat dakwaan mengatakan pembelian kapal selam berkenaan oleh Australia adalah berikutan kehadiran tentera China di Laut China Selatan, Mohamad berkata, dakwaan berkenaan adalah di luar bidang kuasa negara.

“Jadi ini capacity building seperti saya sebutkan tadi untuk negara-negara mempertingkatkan asas pertahanan mereka itu di luar kita punya kuasa, sebab itu masing-masing punya hal, kita pun sedang pertingkatkan aset pertahanan kita, tapi ini dasar mereka (AUKUS) untuk melihat supaya kawasan Indo-Pasifik lebih luas,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS