Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Banjir: Penduduk Kg Orang Asli tanya mana MP Mersing, Adun Endau

Ketika banjir melanda Kampung Peta di Mersing, Johor awal bulan ini, paras air yang tinggi menyebabkan begitu banyak kerosakan terhadap rumah, kenderaan dan tanaman yang menjadi punca rezeki penduduk, yang terdiri daripada Orang Asli suku Jakun.

Sejak itu, penduduk yang tidak berpuas hati mendakwa kampung itu, yang terletak di pinggir sungai Endau, masih belum dikunjungi Adun mereka.

Ahli Parlimen dan Adun kawasan itu, iaitu Islahuddin Abas dan Alwiyah Talib, adalah daripada Bersatu.

Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Osman mendakwa Kampung Peta menanggung kerosakan berjumlah RM1.2 juta, melibatkan 60 keluarga dengan kebanyakan kediaman mereka terjejas akibat banjir.

"Selama dua minggu kami dianaktirikan di negara sendiri. Kampung Peta di Taman Negara Endau-Rompin terpaksa bergantung harap kepada NGO, bukan kerajaan.

"Mereka banyak membantu kami seluruh masyarakat kampung Orang Asli dari segi pengangkutan, makanan dan lain-lain," kata pemandu pelancong berusia 39 tahun itu kepada Malaysiakini.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Osman berkata mereka amat kecewwa apabila ahli parlimen dan Adun yang bertanya khabar dan melihat keadaan mereka.

"Inilah nasib kami. Apabila perlukan undi, kami dicari tapi bila sudah dilantik, kami dilupakan," katanya lagi.

Seorang lagi penduduk, Rudy, 37, berkata banjir menyebabkan dua buah rumah di kampung itu rosak seluruhnya.

"Banjir juga jejaskan telokumikasi, rangkaian telefon terjejas. Sekarang rangkaian sudah ada, tetapi internet tak pulih sepenuhnya. Kampung Peta tak ada pencawang," katanya yang bekerja sebagai pegawai Taman Negara.

Pendapatan terjejas

Mengulas lanjut, Osman berkata banjir telah menjejaskan kegiatan mangsa untuk menyara kehidupan.

"Majoriti sumber pendapatan kami adalah getah dan sektor pelancongan. Sekarang dengan penutupan sementara Taman Negara, pendapatan Orang Asli di sini terjejas. Orang muda di sini minat dengan sektor pelancongan tetapi pelancong tak datang kerana penutupan," katanya lagi.

Pada 28 Februari lalu, Banjir melanda kesemua 10 daerah di Johor menyebabkan lebih 85,000 penduduk perlu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Bencana itu disifatkan sebagai antara banjir buruk yang pernah melanda Johor dan dibandingkan dengan banjir besar pada 2006.

Awal bulan ini, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika merasmikan sidang DUN Johor berkata banjir yang melanda disebabkan perubahan iklim dan menitahkan penduduk negeri itu agar lebih menjaga alam sekitar dan mengurangkan pencemaran.

Osman dan Rudy turut membangkitkan bagaimana banjir telah merosakkan jalan masuk ke Kampung Peta.

"Kenderaan berat tak boleh masuk, jalan hampir putus. Sebelum banjir, jalan itu okey.

"Sekarang banyak pokok yang tumbang belum dibersihkan, banyak yang melintang jalan," kata Osman.

Pada 2 Mac lalu, persatuan alam sekitar Klima Action Malaysia (Kamy) memaklumkan selain jalan, komunikasi turut terputus di sejumlah kampung di Mersing, antaranya Kampung Peta, Kampung Punan dan Terowoh.

‘Tak banyak peruntukan’

Malaysiakini menghubungi Ahli Parlimen Mersing Islahuddin Abas dan Adun Endau Alwiyah Talib berhubung perkara ini.

Alwiyah berkata statusnya pada masa ini lebih kepada "pengimbang" kepada kerajaan negeri yang dipimpin BN. Pengimbang adalah nama yang digunakan untuk merujuk pembangkang di Johor.

"sebagai wakil rakyat di pihak pengimbang kerajaan, peruntukan adalah terhad. Banjir 2023 menyaksikan bukan Orang Asli di Kampung Peta sahaja terjejas, tetapi ada empat lagi perkampungan Orang Asli dan enam perkampungan tradisional yang turut terkesan.

Alwiyah Taib

"Sepanjang banjir, segala aset dan bantuan digerak atur terus bagi pengagihan bantuan," katanya, sambil memberi contoh helikopter milik Bomba dan TUDM yang digunakan untuk menyampaikan bekalan makanan kepada penduduk Kampung Peta.

Walaupun tidak dapat melawat ke kawasan yang terjejas, Alwiyah berkata dia membangkitkan masalah keterhubungan dan jalan rosak di Kampung Peta dan kawasan sekitar ketika sidang DUN.

"Sebelum ini, setiap tahun saya masuk ke Kampung Peta bagi sesi ramah mesra bersama penduduk.

"Kita amat menginsafi bencana banjir ini. Kita tidak lepas tangan dan sentiasa berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan untuk memberi bantuan yang diperlukan," katanya lagi.

Menurut Alwiyah, usaha bantuan pasca banjir telah diberikan kepada mangsa oleh pelbagai agensi kerajaan.

Antaranya bantuan tunai RM1,000 dari kerajaan persekutuan untuk setiap ketua isi rumah serta tambahan RM300 dari kerajaan negeri, serta potongan 40 peratus ke atas bil air mangsa banjir.

'Kerajaan tak abai mangsa'

Sementara itu, Ahli Parlimen Islahuddin Abas menjelaskan dia membangkitkan soalan berkaitan banjir dalam sidang Dewan Rakyat yang masih berlangsung.

"Berdasarkan soalan saya kepada kerajaan, segala bantuan mangsa banjir akan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melalui pejabat daerah.

"Kita akui ini banjir terburuk - lebih buruk daripada banjir 2006/2007 tetapi kerajaan tidak pernah abai mangsa banjir. Beberapa siri bantuan dihantar ketika banjir," katanya.

Ditanya jika dia sendiri akan mengunjungi kawasan terjejas di Mersing nanti, Islahuddin berkata dia kini masih perlu menghadiri sidang Parlimen yang dijadual berakhir minggu depan.

"Saya sentiasa dapatkan maklumat dari semasa ke semasa daripada abatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Mersing dan Angkatan Pertahanan Awam Mersing. Parlimen akan habis minggu depan dan sekarang masih Ramadan.

"InsyaAllah saya akan turun ke Kampung Peta. Saya juga akan bawa isu-isu berbangkit berkaitan banjir di Mersing kepada kerajaan pusat.

"Untuk rekod, saya adalah antara ahli parlimen yang terlibat dalam perbahasan usul berkaitan banjir di Johor," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS