Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kabinet setuju tubuh jawatankuasa tangani isu doktor kontrak

Kabinet bersetuju menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menjadi topik hangat dalam negara ketika ini, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Katanya persetujuan menubuhkan jawatankuasa yang akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi - termasuk Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali - itu dicapai oleh jemaah menteri semalam.

Zaliha berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini susulan desas-desus mogok oleh doktor kontrak pada 3 hingga 5 April ini, serta kemunculan catatan Instagram yang menggesa doktor kontrak seluruh negara tampil menyertai mogok berkenaan atau meletak jawatan secara beramai-ramai pada 1 April.

Kata Zaliha berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai mogok itu.

Bagaimanapun katanya KKM berpandangan mogok bukan penyelesaian terbaik terhadap permasalahan berkaitan profesion perubatan atau mana-mana skim profesional yang lain.

“Sebaliknya perkara ini perlu ditimbang dengan teliti kerana perkhidmatan kesihatan merupakan perkhidmatan kritikal, melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Zaliha berkata kerajaan dari semasa ke semasa memberi respons terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan.

Antaranya kata Zaliha mewujudkan perjawatan tetap, penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara time-based, peluang kenaikan ke gred khas dan mewujudkan gred UD56 untuk pakar perubatan dan sebagainya.

Kata ahli parlimen Sekijang itu KKM sentiasa peka dengan masalah serta permintaan yang ditimbulkan serta memastikan ia diteliti sesuai dengan isu semasa dan diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara.

“Justeru, mogok bukan penyelesaian terbaik dan selaku penjawat awam, sama ada berjawatan tetap atau kontrak.

"Mereka adalah tertakluk kepada integriti penjawat awam dan etika perkhidmatan awam,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS