Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU baru akan diperkenal bagi kawal selia cecair nikotin
Diterbitkan:  Apr 1, 2023 4:23 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan rang undang-undang baru untuk mengawal selia produk dan peranti rokok pada sesi parlimen akan datang, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Rang undang-undang itu akan merangkumi peruntukan yang memastikan kawalan menyeluruh ke atas nikotin dalam cecair dan gel yang digunakan dalam e-rokok dan vape.

Zaliha membuat pengumuman ini berikutan kritikan mengenai pengecualian nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

Menteri itu berkata bahawa sesi libat urus telah diadakan dengan pihak berkepentingan berkaitan mengenai rang undang-undang baru ini, yang akan merangkumi dasar seperti Generasi Penamat Rokok (Generational EndGame).

"Kementerian Kesihatan sangat prihatin di atas kebimbangan, reaksi dan maklum balas yang diterima di media massa susulan

daripada pengecualian sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik daripada Senarai Racun di dalam Jadual Pertama, Akta Racun 1952 [Akta 366].

"Pengecualian ini adalah selaras dengan keputusan pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023 yang lalu oleh perdana menteri bahawa kerajaan akan mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengecualian nikotin dalam Akta Racun telah dilakukan sebelum pembentangan Rang Undang-undang Kawalan Tembakau, yang dijangka dibentangkan pada sesi parlimen akan datang.

Menurut kertas perintah yang diwartakan semalam oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, Akta Racun dipinda untuk mengecualikan tembakau dan produk berhenti merokok.

Turut dikecualikan daripada Akta ini ialah sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik".

Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023 turut diwartakan oleh Menteri Kewangan Anwar Ibrahim pada 29 Mac lalu.

Mengikut perintah itu, cecair e-rokok atau gel yang mengandungi nikotin dikenakan duti eksais 40 sen setiap mililiter. Cukai ini berkuat kuasa mulai hari ini.

CodeBlue melaporkan semalam bahawa Lembaga Racun telah sebulat suara menentang cadangan untuk menyahklasifikasikan nikotin cecair sebagai bahan terkawal dalam usaha kerajaan untuk mengenakan cukai e-rokok dan vape.

Lembaga Racun - yang bertindak sebagai badan bebas yang ditubuhkan di bawah Akta Racun - dilaporkan telah mengadakan mesyuarat pada 29 Mac. Ini adalah hari yang sama pindaan Duti Eksais diwartakan.

Memetik sumber, CodeBlue melaporkan bahawa pegawai Kementerian Kesihatan menentang pengecualian nikotin cecair daripada kawalan di bawah Akta Racun.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan didakwa meminta Kementerian Kesihatan mengecualikannya bagi memberi akses kepada pengguna dan pengeluar tempatan untuk mengeluarkan produk berkaitan secara sah.

Kebimbangan timbul

Sebelum ini, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Muruga Raj Rajathurai menggesa kerajaan supaya RUU Kawalan Tembakau diluluskan terlebih dahulu sebelum pengecualian, supaya ada kawalan ke atas penjualan produk vape.

Dia mendakwa bahawa sebaik sahaja nikotin dikeluarkan daripada Akta Racun, vape yang mengandungi bahan itu kemudiannya boleh dijual kepada orang ramai secara sah, dan tanpa kawalan untuk melarang penjualan barangan ini kepada kanak-kanak bawah umur.

Dia menambah bahawa ini akan memberi kanak-kanak akses tanpa halangan kepada produk vape yang mengandungi nikotin - yang akan membawa kepada generasi baru kanak-kanak dan orang muda menjadi ketagih.

Peraturan Kawalan Produk Tembakau hanya meliputi nikotin dalam rokok dan mempunyai kawalan untuk memastikan rokok hanya boleh dijual kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

Sementara itu, Persatuan Ahli Farmasi Malaysia berkata mengecualikan nikotin daripada Akta Racun akan menghantar mesej yang salah kepada orang ramai, khususnya golongan muda, dan boleh membawa kepada peningkatan dalam penggunaan e-rokok dan vape.

Akta Racun telah ditubuhkan untuk melindungi orang ramai daripada bahaya bahan berbahaya - termasuk nikotin - dan untuk mengawal penjualan, pembekalan dan penggunaannya.

Lihat Komen
ADS