Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP kesal perbincangan isu Mitra ditangguh atas alasan 'tiada kelulusan PM'

Seorang ahli parlimen kerajaan kesal selepas sesi perbincangan hala tuju Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) ditangguhkan atas alasan perlu mendapatkan kelulusan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketika dihubungi, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran mengesahkan bahawa sesi perbincangan yang dicadangkan pada Isnin ini telah ditangguhkan.

"Bagi pihak semua ahli parlimen, saya menulis surat kepada Mitra untuk membincangkan isu-isu penting dan berkaitan penggunaan dana Mitra.

"Saya kemudian bertemu Ketua Pengarah Mitra Raveendran Nair awal minggu ini. Saya meminta mesyuarat rasmi bersama-sama ahli parlimen lain. Beliau berkata saya perlu mendapatkan kelulusan daripada Ketua Setiausaha Negara, yang kemudiannya saya dapat.

"Bagaimanapun, saya dimaklumkan bahawa ia tidak mencukupi dan saya memerlukan kelulusan perdana menteri untuk mesyuarat tersebut.

“Alasan ini adalah menyedihkan dan paling tidak sesuai. Jika saya diberitahu lebih awal bahawa saya memerlukan kelulusan perdana menteri pada awalnya, saya akan mendapatnya. Sekarang perdana sibuk di luar negara.

"Saya kesal sesi perbincangan ini penting setelah permintaan tinggi bagi mereka yang memerlukan bantuan. Ia juga penting untuk Mitra menjelaskan tentang dakwaan salah guna dana yang dibuat mengenainya pada masa lalu," katanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Raveendran untuk mendapatkan penjelasan.

Mitra, yang dilancarkan pada 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak, pada mulanya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic).

Ia pada asalnya dilancarkan dengan tujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

Sedic dibubarkan apabila kerajaan BN tumbang pada pilihan raya umum ke-14 dan kemudiannya dihidupkan semula sebagai Mitra di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Selepas kerajaan PH tumbang, Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan.

Pada awal 2021, isu dana Mitra menjadi tumpuan berikutan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam penyelewengan geran yang diperuntukkan kepada unit itu.

Sebanyak 337 syarikat, organisasi dan NGO dikenal pasti telah menerima geran daripada Mitra antara 2019 dan 2021 dengan jumlah dianggarkan kira-kira RM203 juta.

Sementara itu, Kulasegaran juga berkata bahawa ahli parlimen lain yang sepatutnya menghadiri mesyuarat itu juga tidak berpuas hati.

"Saya menggesa Mitra mengadakan mesyuarat di kalangan ahli parlimen dengan segera.

"Saya akan berjumpa dengan PM untuk membincangkan perkara ini dengannya.

"Mitra perlu beralih daripada memberi geran kepada bantuan sepanjang hayat," katanya.

Untuk rekod, pada Belanjawan 2023, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah memperuntukkan RM100 juta kepada demi membantu masyarakat India di negara ini.

Lihat Komen
ADS