Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM: Penjawat awam dilarang sertai 'perhimpunan haram'
Diterbitkan:  Apr 2, 2023 12:19 PM
Dikemaskini: 4:21 AM

Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan penjawat awam agar tidak terlibat dalam sebarang perhimpunan "haram".

Menurut KKM, berdasarkan surat edaran oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bertarikh 30 Jun 2011, penjawat awam adalah dilarang terlibat dalam perhimpunan seumpama itu.

"Penglibatan penjawat awam dalam perhimpunan haram adalah melanggar Peraturan 4(1) dan 4(2), P.U.(A) 395/1993," menurut hantaran KKM yang disiarkan di laman Facebook kementerian itu semalam.

Hantaran itu juga memaparkan infografik mengenai bentuk penyertaan perhimpunan haram termasuk "penglibatan aktif" di luar waktu bekerja, menggunakan waktu pejabat dan meninggalkan pejabat untuk memerhati dan menyertai perhimpunan selain menggunakan peralatan pejabat seperti mesin cetak, mesin penyalin komputer untuk mencetak dan mengedarkan risalah berkaitan perhimpunan haram.

Peraturan 4(1) menyatakan seseorang pegawai awam hendaklah pada setiap masa memberikan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan.

Sementara itu, Peraturan 4(2) menyatakan penjawat awam tidak dibenarkan membelakangkan tugas awamnya atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah bahawa mereka telah membiarkan kepentingan peribadinya bercanggah dengan tugas awamnya sehingga menjejaskan kerja mereka.

Peringatan KKM itu dibuat di tengah-tengah khabar angin bahawa doktor kontrak alan melakukan mogok dari 3 hingga 5 April ini.

Laman Instagram DoctorsMalaysia menggesa doktor kontrak di seluruh negara menyertai mogok berkenaan atau meletakkan jawatan secara beramai-ramai pada 1 April.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata mogok bukanlah penyelesaian terbaik kepada sebarang masalah yang timbul berkaitan profesion perubatan atau mana-mana profesion lain.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga dilaporkan berkata kerajaan berhasrat menyelesaikan isu yang dihadapi doktor kontrak dalam tempoh tiga tahun.

Lihat Komen
ADS