Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kehilangan biodiversiti beri kesan ekonomi, kestabilan kewangan - BNM

Sumber asli seperti minyak dan kayu balak dan perkhidmatan ekosistem yang amat banyak termasuklah tanah yang subur dan air bersih telah menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi negara, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan baru-baru ini, BNM berkata pengeluaran dan penggunaan secara berlebihan lama-kelamaan boleh menghakis sumber serta memudaratkan masyarakat dan ekonomi dan kegiatan pembangunan ekonomi yang berlebihan juga boleh menyebabkan kemerosotan perkhidmatan ekosistem.

Katanya kegiatan ini termasuk penebangan hutan, pencemaran, penangkapan ikan secara berlebihan, perubahan guna tanah dan aktiviti-aktiviti lain manusia yang mendorong kehilangan dan pemecahan habitat.

“Perubahan iklim juga mempercepat kehilangan biodiversiti dan mengurangkan daya tahan ekosistem dan hal ini meningkatkan risiko berkaitan alam semula jadi yang seterusnya mampu menjejaskan daya maju perniagaan dan mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Perniagaan yang sangat bergantung pada perkhidmatan ekosistem untuk meneruskan operasi perniagaan adalah yang paling terdedah kepada risiko berkaitan alam semula jadi,” katanya.

Oleh itu, katanya langkah-langkah yang holistik dan dirangka dengan teliti bagi menggalakkan penggunaan secara bertanggungjawab atau menggantikan semula sumber, adalah penting untuk memelihara nyawa dan mata pencarian.

“Risiko berkaitan alam semula jadi dan iklim berkait rapat. Sama seperti perubahan iklim, risiko berkaitan alam semula jadi boleh dizahirkan dalam bentuk risiko fizikal, peralihan dan liabiliti.

“Risiko-risiko ini juga boleh mengakibatkan kerugian kewangan dan ekonomi yang disebabkan oleh kemerosotan dari segi keupayaan untuk menyesuaikan keadaan dan membina daya tahan terhadap kejadian buruk,” katanya.

Kajian Bank Dunia menilai tahap kerosakan yang akan berlaku sekiranya bahagian tertentu sesebuah ekosistem, seperti perikanan laut, pendebungaan liar dan bekalan kayu balak dalam ekosistem berkurang sebanyak 90 peratus.

Kajian tersebut mendapati bahawa di Asia Timur dan rantau Pasifik, keadaan ini boleh mengakibatkan kerugian sebanyak 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2030 berbanding dengan senario asas.

Di Malaysia, kerugian dijangka lebih besar iaitu sebanyak enam peratus daripada KDNK menjelang tahun 2030 disebabkan oleh kesan buruk daripada perkhidmatan ekosistem perhutanan dan perikanan Malaysia yang terjejas.

“Sehubungan itu, BNM merancang untuk meluaskan libat urus dan inisiatif pembinaan keupayaan semasa pada peringkat bank serta sektor kewangan supaya mengambil kira risiko berkaitan alam semula jadi.

“Tumpuan segera adalah untuk mengenal pasti peluang bagi memajukan usaha yang sedang dilaksanakan untuk mengukuhkan daya tahan terhadap perubahan iklim,” katanya.

Sebagai contoh, jawatankuasa kecil JC3 bagi Menangani Jurang Data (Bridging Data Gaps, BDG) sedang mengkaji cara untuk menambah baik pengumpulan data yang berkaitan dengan risiko alam semula jadi di Malaysia.

“Usaha ini bertujuan untuk memudahkan analisis yang lebih terperinci tentang cara sektor kewangan meningkatkan risiko berkaitan alam semula jadi dan dari satu sudut lain, kesan kehilangan biodiversiti terhadap sistem kewangan.

“Analisis ini akan dijadikan asas dalam menentukan keutamaan tindak balas industri terhadap risiko berkaitan alam semula jadi,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS