Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hospital beroperasi seperti biasa walau dengan ancaman mogok

Hospital-hospital kerajaan dilihat beroperasi seperti biasa hari ini di sebalik ancaman mogok dalam kalangan doktor kontrak.

Pemeriksaan di lapangan oleh Malaysiakini hari ini mendapati hospital seperti Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Shah Alam kekal beroperasi dengan lancar dengan waktu menunggu seperti biasa.

Beberapa doktor kontrak di HKL yang ditemui Malaysiakini berkata mereka tidak menyertai mogok yang dianjurkan walaupun tahu tentangnya.

Sementara itu, seorang jururawat di HKL memberitahu Malaysiakini yang mereka tidak sedar jika ada mana-mana doktor yang menyertai mogok tersebut.

TV3 turut melaporkan Hospital Sungai Buloh tetap beroperasi seperti biasa. Pesakit yang ditemui saluran itu berkata ada jumlah kakitangan yang cukup di hospital hari ini.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor Ling Tian Soon berkata tiada kesesakan luar dari kebiasaan di kemudahan kesihatan awam di negeri itu, dan bilangan pegawai perubatan juga di bawah kawalan.

Protes yang dijangka berlangsung sehingg Rabu ini (5 April) menggesa doktor kontrak untuk mengambil cuti sakit, cuti kecemasan atau meletakkan jawatan secara beramai-ramai.

Penganjurnya, Mogok Doktor Malaysia sebelum ini memberitahu The Vibes yang mereka menjangka sekurang-kurangnya 10,000 hingga 12,000 doktor kontrak akan menyertai mogok itu.

Kumpulan itu antara lain mendesak semua doktor kontrak diberikan jawatan tetap, kenaikan gaji asas dan kadar bayaran on-call dan penyelesaian untuk isu kekurangan tenaga kerja.

Seorang doktor kontrak di Hospital Melaka - yang turut beroperasi seperti biasa hari ini - berkata kebanyakan dalam kalangan mereka merasakan mogok itu tidak membantu apa yang mereka perjuangkan.

"Sejujurnya, tiada siapa antara kami yang rasa ia akan membantu dan hakikat yang identiti penganjur di belakangnya masih tidak diketahui menimbulkan syak wasangka," katanya yang enggan dinamakan.

Doktor yang bertugas di wad pediatrik berkata ketua jabatan juga mengingatkan doktor agar tidak mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan untuk tiga hari ini.

Ketika dihubungi hari ini, Mogok Doktor Malaysia enggan menjawab soalan Malaysiakini berhubung mogok ini dan mendakwa portal berita tersebut dimiliki "DAP atau parti berkaitan PH".

Mogok Doktor Malaysia juga berkata laporan Malaysiakini berkenaan mogok sebelum ini "sangat berat sebelah" dan justeru enggan menjawab soalan yang dikemukakan.

Ia walaupun setelah pemberita memberi penjelasan bahawa Malaysiakini telah cuba menghubungi kumpulan mereka minggu lalu.

Identiti pihak di belakang Mogok Doktor Malaysia, yang memilih untuk kekal tidak dikenali, telah membangkitkan syak banyak pihak.

Sejumlah netizen didapati mempersoalkan jika kumpulan itu ada kaitan dengan PN. Dr Aiman Alias - yang merupakan sebahagian daripada jawatankuasa kesihatan PN di bawah Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Ahmad Yunus Hairi - juga disyaki terlibat dengan Mogok Doktor Malaysia.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Aiman menafikan PN ada sebarang kaitan dengan mogok minggu ini.

Dia mendakwa PN telah cuba menghubungi Mogok Doktor Malaysia tetapi tidak berjaya, dan juga gagal mengenal pasti pihak yang memulakan gerakan itu.

"Jadi apa yang kita buat hanya tinggalkan mesej di kumpulan Telegram mereka dan berkata kami menyokong mereka, dan faham apa yang mereka lalui dan kami sedia membantu," katanya lagi.

‘Hak doktor untuk protes’

Hartal Doktor Kontrak, yang menyusun protes doktor kontrak pada Julai tahun lalu, menafikan terlibat dalam rancangan mogok minggu ini.

Pada masa sama, kumpulan itu berkata doktor kontrak ada hak untuk membuat protes, namun mereka berharap ia tidak menjejaskan aspek penjagaan pesakit.

Sementara itu, pemeriksaan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut mendedahkan yang tiada mogok berjalan di mana-mana kemudahan kesihatan kerajaan di seluruh negara.

Bagaimanapun presidennya Dr Muruga Raj Rajathurai berkata isu berkenaan ketakutan awam perlu ditangani kerajaan dan pihak berkuasa.

Ia susulan gesaan Mogok Doktor Malaysia agar orang ramai tidak ke kemudahan kesihatan di hari mogok diadakan.

"MMA menerima panggilan daripada orang awam yang bertanya jika kemudahan kesihatan beroperasi seperti biasa hari ini dan kami beri jaminan kepada mereka (tentang operasi).

"Tapi kami harap Kementerian Kesihatan menerusi penyampaian yang lebih kerap menerusi kenyataan media dan kemas kini media sosial akan meredakan kerisauan ini dan menjamin orang awam yang semua perkhidmatan kesihatan awam akan diberikan tanpa gangguan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memberitahu New Straits Times bahawa hospital akan dalam keadaan berwaspada hari ini, bagi memantau jika mogok itu berjalan seperti dirancang.

Pada masa sama, dia memberi jaminan operasi hospital dan klinik kesihatan akan berjalan seperti biasa.

Sebelum mogok yang dirancang itu, kerajaan telah mewujudkan jawatankuasa antara kementerian untuk menangani isu berkaitan doktor kontrak.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi meminta jawatankuasa itu diberi masa secukupnya untuk merangka penyelesaian.

Hartal Doktor Kontrak telah meminta agar dimasukkan ke dalam jawatankuasa itu.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memerlukan tempoh tiga tahun untuk menyelesaikan masalah itu, selain memberi jaminan seramai 1,500 doktor akan dijadikan kakitangan tetap tahun ini.

[Baca berita asal]

Laporan oleh Raveena Nagotra, Puteri Aisya Sufian, Phung Yie Wen, Alyaa Alhadjri.

Lihat Komen
ADS