Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Subsidi minyak masak: Anak Hamzah Zainudin diheret ke mahkamah
Diterbitkan:  Apr 5, 2023 2:06 PM
Dikemaskini: Apr 24, 2023 1:15 PM

Muhammad Faisal Hamzah, anak kepada ketua pembangkang Hamzah Zainudin, didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas sembilan pertuduhan mengenai pelanggaran berhubung subsidi minyak masak.

Menurut laporan The Edge, Faisal, 39, didakwa bersama Azizul Abdul Halim, 55.

Kedua-dua mereka adalah pengarah Rimba Merpati Sdn Bhd, pemegang lesen minyak masak borong.

Mereka didakwa memberikan maklumat palsu dengan mengeluarkan invois palsu mengenai penjualan minyak itu kepada syarikat peruncit tempatan yang menyalahi Seksyen 8(4) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Minyak masak adalah barang kawalan menurut akta berkenaan.

Mereka juga didakwa memiliki minyak masak bersubsidi melebihi had yang dibenarkan.

Hamzah pernah menjadi menteri dalam negeri semasa pentadbiran Perikatan Nasional.

Dia juga berkhidmat sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna semasa kerajaan BN sebelum itu dari Julai 2015 hingga Mei 2018.

[Baca berita penuh]

Anak Hamzah didakwa beri maklumat palsu

Sementara itu, Bernama melaporkan anak kepada bekas menteri dan rakan perniagaannya didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas sembilan pertuduhan mengemukakan invois penjualan minyak masak palsu dan memiliki minyak masak bersubsidi melebihi had.

Muhammad Faisal Hamzah, 39, anak kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Azizul Abdul Halim, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mazni Nawi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka yang merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd iaitu syarikat pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak, didapati telah memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat berhubung dokumen atau invois penjualan minyak masak kepada dua kedai runcit di Kuala Lumpur.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri kira-kira pukul 5 petang pada 12 Ogos tahun lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 22(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 hendaklah disifatkan telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Syarikat itu yang diwakili mereka turut didakwa mengemukakan invois palsu dan memiliki minyak masak melebihi had 50 metrik tan, mengikut Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat KPDN dan premis perniagaan Rimba Merpati Sdn Bhd di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang kira-kira pukul 11.15 malam, 11 Ogos dan 5 petang, 12 Ogos tahun lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDN Mohd Sophian Zakaria dan Syazwani Zawawi manakala kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) diwakili peguam Qurratu 'Aini Zafirah Mat Shoib.

Mohd Sophian memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang tinggi kepada Muhammad Faisal dan Azizul mengambil kira sembilan pertuduhan, selain ia membabitkan barang kawalan yang mempunyai kepentingan kepada awam.

“Seperti kita semua maklum, kerajaan amat memberi penekanan terhadap keperluan barang makanan seperti minyak masak yang menjadi krisis di negara kita.. jadi perlu melibatkan jumlah yang tinggi (jaminan) kerana melibatkan kuantiti besar (minyak masak)," katanya.

Qurratu 'Aini Zafirah pula berkata mahkamah tidak sewajarnya terpengaruh dengan jumlah pertuduhan dikenakan memandangkan OKS belum lagi dibuktikan bersalah.

Beliau berkata wang jaminan juga tidak sewajarnya diukur oleh jumlah pertuduhan dan kerugian semata-mata kerana jaminan adalah bagi memastikan kehadiran OKS ke mahkamah dan bukan bersifat hukuman.

"Tertuduh juga beri kerjasama sepenuhnya kepada pegawai penyiasat semasa siasatan dijalankan dan ini merupakan kali pertama mereka didakwa di mahkamah.

"Tiada risiko untuk Muhammad Faisal melarikan diri kerana dia menetap di Ampang, Selangor bersama isteri yang sedang sarat mengandung serta tiga anak, manakala Azizul yang menetap di Kuantan, Pahang tidak lagi bekerja dan mempunyai 10 anak yang empat daripadanya masih bersekolah," katanya.

Mahkamah membenarkan Muhammad Faisal dan Azizul masing-masing diikat jamin berjumlah RM40,000 dan menetapkan 7 Jun ini untuk sebutan semula kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS