Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menuntut pemimpin dunia, khususnya negara Islam untuk mengenakan tekanan politik terhadap Israel bagi menghentikan kezaliman terhadap rakyat Palestin.
"Atas nama kebenaran dan keadilan, Abim menggesa masyarakat antarabangsa untuk membuka mata serta menyatakan solidariti mereka bersama rakyat Palestin yang secara berterusan menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis yang melangkaui norma kemanusiaan sejagat.
"Abim juga menuntut pemimpin-pemimpin dunia khususnya dalam kalangan negara Islam termasuk Malaysia membuktikan solidariti dengan mengenakan tekanan politik sehingga kekejaman seperti ini dihentikan sama sekali," kata Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz pada satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Abim ini merujuk laporan pencerobohan polis Israel pada 5hb April 2023 (Rabu) yang mengakibatkan tujuh rakyat Palestin cedera parah, selain ratusan yang lain cedera ringan ketika sedang beriktikaf di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur.

Dilaporkan, 400 umat Islam Palestin ditangkap dalam insiden kali ini yang menyebabkan kerosakan teruk kepada beberapa fasiliti utama masjid itu.
Sementara itu, Muhammad Faisal berkata Abim mengecam sekeras-kerasnya kekejaman terkini yang dilakukan Israel di Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam sedang beribadah di bulan Ramadan.
“Konflik antara Israel-Palestin yang berlarutan ini harus diberi perhatian oleh masyarakat dunia supaya rakyat Palestin tidak lagi menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis yang melangkaui norma kemanusian sejagat.
“Kekejaman ini merupakan jenayah terhadap kemanusian kerana membabitkan masyarakat awam termasuk wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa komuniti antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) memastikan rejim Israel bertanggungjawab terhadap serbuan terhadap rakyat Palestin pada Rabu lalu.
Perdana menteri juga mendesak polis Israel membebaskan segera semua tahanan Palestin yang ditahan semasa serbuan tersebut.
