Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar 'cuai' tangani isu tuntutan Beijing, kata Muhyiddin
Diterbitkan:  Apr 7, 2023 12:11 PM
Dikemaskini: 4:11 AM

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mengecam Anwar Ibrahim kerana dianggapnya “cuai” dalam memberi kenyataan berhubung isu pertikaian Laut China Selatan.

Ia susulan kenyataan perdana menteri itu yang memberitahu Putrajaya terbuka kepada rundingan selepas Beijing membangkitkan projek operasi cari gali Petronas di kawasan laut tersebut.

Dalam kenyataannya semalam, Muhyiddin memberi amaran bahawa kenyataan Anwar itu secara tidak langsung boleh dianggap memperakui tuntutan China terhadap kawasan yang sudah sah merupakan wilayah Malaysia.

“Pada hakikatnya, kawasan cari gali Petronas yang dirujuk oleh perdana menteri adalah dalam wilayah Malaysia dan tidak boleh dirundingkan walaupun dituntut oleh China.

“Malaysia mesti tegas mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan negara.

“Kenyataan perdana menteri tentang keterbukaan Malaysia untuk berunding ke atas hak wilayahnya telah mengundang risiko ancaman kedaulatan negara.

"Kenyataan perdana menteri yang dibuat di parlimen itu adalah amat lemah, amat tidak bertanggungjawab dan kelihatan seperti menggadai maruah dan kedaulatan negara kepada kuasa asing,” kata Muhyiddin di Facebook.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut menyentuh kenyataan Anwar mengenai kehadiran kapal tentera laut China di perairan yang dituntut tujuh negara termasuk Malaysia.

Tak boleh kompromi langsung

Muhyiddin menegaskan Malaysia harus tegas mempertahankan kedaulatan wilayahnya dan merujuk pada peta Malaysia dari 1979.

Dia menambah, isu perselisihan mengenai rantau itu belum lagi diselesaikan dan Asean belum mencapai persetujuan mengenainya walaupun China menegaskan ia merangkumi laluan air antarabangsa.

Muhyiddin juga menyatakan Asean menolak pengiktirafan “nine-dash line” yang dituntut Beijing - yang merentasi Laut China Selatan - dan ia turut ditolak Tribunal Timbang Tara pada 2016 selepas mendapati mereka tidak mempunyai asas undang-undang terhadapnya.

“Berkenaan pertindihan tuntutan, sebarang perbincangan mesti dibuat selaras dengan Konsensus Asean dan South China Sea Code of Conduct.

“Sementara Malaysia mengiktiraf negara China sebagai kuasa ekonomi global, kedaulatan negara kita tidak boleh dikompromi sama sesekali.

“Mengambil kira kedudukan Asean sebagai gabungan 10 negara, Malaysia mestilah menangani isu maritim antarabangsa secara lebih berwaspada berpandukan prinsip kedaulatan negara dan gagasan Asean,” katanya.

Pada 3 April, Anwar dilaporkan berkata Malaysia bersedia untuk berunding dengan China berhubung pertikaian Laut China Selatan.

Dia berkata isu itu dibangkitkan pada pertemuan empat mata dengan Presiden Xi Jinping semasa lawatan rasmi ke China baru-baru ini. Ia berlaku ketika Petronas mempunyai platform terbesar untuk cari gali minyak yang beroperasi di kawasan itu.

Bagaimanapun, pada 4 April semasa di parlimen Anwar menjelaskan Petronas akan meneruskan aktiviti cari gali di kawasan perairan berkenaan kerana Malaysia menganggap ia berada dalam wilayah Malaysia.

Pendirian itu, katanya, telah dimaklumkan kepada Xi dan Perdana Menteri China Li Qiang sewaktu lawatan rasminya di republik itu.

“Perkara ini saya sebut sendiri kepada Perdana Menteri Li Qiang dan Presiden Xi Jinping bahawa Malaysia menganggap ini kawasan daerah Malaysia.

“Maka oleh yang demikian, Petronas akan terus cari gali di kawasan itu,” kata Anwar tanpa mendedahkan nama kawasan berkenaan.

Menggunakan istilah “nine-dash line”, China meneruskan kegiatan menceroboh ke perairan zon ekonomi eksklusif Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina, Vietnam dan Filipina di Laut China Selatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS