Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penuntut sarjana kesihatan bantah keluarkan cecair nikotin dari Akta Racun

Sekumpulan penuntut sarjana kesihatan awam Universiti Malaya (UM) hari ini membantah tindakan kerajaan mengecualikan cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952.

Mereka antaranya menyifatkan tindakan itu sebagai langkah ke belakang berbanding negara-negara jiran yang mengharamkan sepenuhnya penggunaan vape.

“Kami sebagai pegawai perubatan dan anggota kesihatan bersekutu berpegang kepada etika first do not harm yang mengelak kemudaratan dan mengambil kebaikan.

“Kami juga mendesak agar rang undang-undang (RUU) untuk kawalan produk merokok dan vape serta peruntukan generation end game (generasi penamat) dibentang dan diluluskan dengan secepat mungkin,” kata pelajar farmasi Oui Hui Che.

Kerajaan bertindak demikian bagi membolehkan mengenakan cukai terhadap rokok elektoronik dan vape.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa bagaimanapun berkata akan memperkenalkan rang undang-undang baru untuk mengawal selia produk dan peranti rokok pada sesi parlimen akan datang.

Sementara itu, kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Gerakan Penuntut Sarjana Kesihatan Awam Universiti Malaya itu juga mengingatkan kerajaan terhadap bahaya nikotin.

“Nikotin adalah bahan kimia beracun semula jadi yang boleh menjadi ketagihan kepada sesiapa yang mengambilnya dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.

“Menjadi kerisauan kepada kami apabila kanak-kanak di bawah umur mudah mendapat akses untuk pembelian rokok elektronik kerana nikotin tidak tersenarai dalam akta racun,” kata  Dr Jeshua Navaraj.

Kumpulan itu mendakwa mewakili kira-kira 700 pelajar sarjana, kedoktoran dan alumni Fakulti Kesihatan Awam UM.

Dia juga menyatakan bahawa terdapat 20,000 kematian setiap tahun disebabkan nikotin dan akan menjadi lebih parah sekiranya jumlah ini meningkat saban tahun.

Tambahan, dia menjelaskan sekiranya peningkatan berlaku terhadap akses nikotin oleh rakyat Malaysia, dikhuatiri hospital tidak mampu untuk menampung jumlah pesakit. 

Mereka turut melancarkan petisyen atas talian di Facebook Public Health at University of Malaya supaya orang ramai dapat sama-sama menyatakan bantahan.

Menyasarkan 1,000 tandatangan, mereka merancang menyerahkannya kepada menteri kesihatan.

Lihat Komen
ADS