Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sungai tukar warna biru: Tindakan pantas elak gangguan bekalan air
Diterbitkan:  Apr 7, 2023 9:40 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

Tindakan pantas dan pemantauan berterusan telah menghalang satu lagi gangguan air di Lembah Klang pagi ini apabila aliran air Sungai Gong bertukar biru.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor Hee Loy Sian berkata pemantauan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesan pencemaran berwarna biru itu pada jam 1 pagi tadi.

Pencemaran itu berpotensi mengganggu operasi di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, dan Loji Rawatan Air Rantau Panjang, yang kesemuanya terletak di hilir.

Punca berlakunya aliran berwarna biru tersebut dikesan daripada saluran paip di longkang sebuah premis kilang di Integrated Industrial Park, Rawang.

Siasatan lanjut Luas dan pensampelan di kawasan premis tersebut telah mengesan air berwarna biru yang sama di dalam tangki takat pelepasan akhir dan juga mesin milik premis kilang.

Kilang itu diarahkan untuk menghentikan pembuangan efluennya dan memulakan operasi pembersihan.

Luas turut membuka kertas siasatan berdasarkan Seksyen 79 (1)(c) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta dan penjara tidak kurang tiga (3) tahun sebagai tindakan tegas terhadap premis tersebut.

Sementara itu, Hee (gambar, bawah) berkata kualiti air pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi tadi.

Katanya, aliran pencemaran berkenaan telah berjaya dikawal sepenuhnya dan kualiti air di Sungai Gong sekitar 500 meter dari lokasi pelepasan.

Hee juga menyifatkan kejayaan membendung pencemaran itu adalah hasil daripada Skim Jaminan Air Mentah yang bernilai RM200 juta.

"Ianya adalah kesan dari tindakbalas biologikal melalui projek rawatan biologikal/bio-remedition yang kini sedang dilaksanakan di Sungai Gong dan Sungai Sembah semenjak Julai 2022. Projek berkenaan adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani permasalahan kualiti dan kuantiti sumber air negeri.

"Inisiatif SJAM ini membuktikan ianya mampu untuk membantu mengawal dan mengekang permasalahan kualiti sumber air di Negeri Selangor," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa inisiatif SJAM telah dilancarkan pada 2020. Antara lain, ia akan mengarahkan air tercemar dari loji rawatan air, dan sebaliknya menyalurkan air dari kolam simpanan.

Bekalan air mentah yang disimpan akan bertahan antara lima hari hingga dua minggu.

Inisiatif itu juga termasuk pasukan tindak pantas untuk sentiasa memantau kualiti air di kawasan sensitif lembangan sungai Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Pada 16 Feb, The Star memetik Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata projek itu sudah 40 peratus siap, dan dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS