Paling Popular
Terkini

Sam Ke Ting diputuskan tidak bersalah atas tuduhan memandu secara melulu yang dikaitkan dengan kematian lapan remaja penunggang basikal lajak di Johor enam tahun lalu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hadhariah Syed Ismail sebulat suara membenarkan rayuan untuk membatalkan keputusan bersalah serta hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 terhadap kerani itu.

Panel lain ialah hakim Hashim Hamzah dan Azman Abdullah.

Pada 18 Feb 2017, lapan remaja maut, dua lagi parah, dan enam lagi cedera ringan apabila kereta yang dipandu Sam merempuh mereka dalam kejadian pukul 3 pagi itu.

Ketika membacakan keputusan itu, Hadhariah berkata sabitan terhadap Sam tidak mampan berikutan pertuduhan cacat yang mengandungi dua kesalahan trafik yang berbeza iaitu memandu secara melulu dan memandu berbahaya.

Dia berkata pasukan pendakwaan juga mengakui wujudnya tuduhan bertindan - dirangka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 - semasa perbicaraan di mahkamah terbuka awal hari ini.

Dia menegaskan bahawa Mahkamah Majistret di Johor Bahru yang membebaskan Sam dua kali - sekali pada akhir pendakwaan dan satu lagi pada akhir pembelaan, dengan Mahkamah Tinggi di Johor Bahru membatalkan kedua-dua keputusan - telah membuat keputusan yang betul bahawa kemalangan itu adalah mustahil dapat dielakkan oleh pemandu.

Hadhariah menegaskan keterangan pegawai penyiasat dalam kes bahawa penunggang basikal remaja itu, yang berjumlah antara 30 dan 40, tidak sepatutnya berada di jalan raya pada awal pagi dengan terlibat dalam perlumbaan haram.

“Kami bersimpati dengan keluarga lapan mangsa yang maut dalam kemalangan itu, namun keputusan itu perlu dibuat mengikut undang-undang terutama mengikut prinsip undang-undang kes.

“Sekiranya kemalangan berlaku dan seseorang maut, kita tidak boleh hanya mengatakan pemandu itu bertanggungjawab. Keputusan bersalah hanya boleh mengikuti penemuan kesalahan terhadap pemandu, sama ada pemandu itu memandu dengan cara yang berbahaya.

"Itu adalah undang-undang," kata Hadhariah.

Hadhariah juga berkata, hakim Mahkamah Tinggi hanya memfokuskan pada pemandu tapi bukan kepada kumpulan lajak basikal itu.

“Berlainan dengan Mahkamah Majistret yang membuat penilaian secara maksimum dengan memfokuskan semua sudut yang mana kemalangan ini mustahil dapat dielakkan.

“Satu cara untuk mengelak kemalangan adalah kereta itu ‘terbang’ ketika melalui kumpulan basikal lajak,” katanya.

Dia kemudiannya memutuskan bahawa rayuan mesti dibenarkan atas sebab pertuduhan yang cacat sahaja.

“Perayu dibebaskan dan dilepaskan. Anda kini seorang yang bebas,” kata Hadhariah kepada Sam, 28, yang berada di kandang tertuduh.

Sam diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Pendakwaan diwakili timbalan pendakwa raya Tengku Amir Tengku Abdul Rahman dan Muhamad Shafiq Mohd Ghazali.

Lihat Komen
ADS