Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PN lontar 'soalan pelik' kepada menteri dalam negeri
Diterbitkan:  Apr 12, 2023 8:30 AM
Dikemaskini: 7:39 AM

PARLIMEN | Ahli Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib menyoal rasional kerajaan untuk "mengiktiraf" rakyat yang dilahirkan selepas merdeka di Malaysia tanpa mengira "warna kulit".

Ini sebahagian soalan bertulis ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) yang diajukan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution pada sesi Dewan Rakyat lepas.

"Minta menteri dalam negeri menyatakan apakah benar kerajaan berhasrat untuk memberi pengiktirafan kepada rakyat yang lahir selepas merdeka tanpa mengira warna kulit.

"Jika benar, apakah rasionalnya,” kata soalan yang diajukannya itu.

Dalam jawapan balas, Saifuddin mengingatkan bahawa pemberian kerakyatan kepada individu yang lahir sebelum atau selepas merdeka adalah tertakluk kepada undang-undang yang termaktub dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Kewarganegaraan 1964 dan peruntukan penguatkuasaan lain yang berkaitan.

Tambahnya, pemberian kerakyatan kepada individu bukan warganegara adalah “anugerah tertinggi” dan hak eksklusif kerajaan persekutuan yang tidak ditawarkan dan diberikan "secara sewenang-wenangnya."

"Setiap permohonan kewarganegaraan yang diterima diproses dan diteliti dengan sewajarnya berdasarkan syarat dan perundangan yang berkuatkuasa tanpa membezakan keturunan atau warna kulit pemohon,” kata Saifuddin.

Sementara itu, dalam soalan berasingan yang dikemukakan Ismail di Dewan Rakyat, ahli parlimen PAS itu turut bertanya mengapa “sebuah kerajaan negeri” mengeluarkan arahan kepada semua masjid di negeri itu untuk merendahkan pembesar suara azan.

"Apakah punca sebenar menyebabkan sebuah kerajaan negeri di negara ini mengeluarkan perintah larangan kepada semua masjid di negeri-negeri berkenaan supaya memperlahankan setiap kali azan apabila solat lima waktu," soalnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjawab bahawa tidak ada perintah sedemikian di mana-mana negeri setakat ini sebagaimana yang didakwa ahli parlimen Maran itu.

Walaupun Ismail tidak menyebut negeri mana yang dimaksudkannya, maklumat palsu berhubung larangan pembesar suara masjid untuk azan di Pulau Pinang telah tersebar sejak sekurang-kurangnya 2011.

Maklumat salah ini telah dibangkitkan berulang kali selama bertahun-tahun untuk menyerang pentadbiran negeri pimpinan DAP walaupun beberapa penjelasan telah dibuat.

Bacaan sebelum solat Subuh

Larangan yang ada berkaitan penggunaan pembesar suara untuk bacaan ayat-ayat al-Quran sebelum solat subuh, dan bukannya terhadap laungan azan itu sendiri.

Mufti Pulau Pinang ketika itu, Hassan Ahmad, menjelaskan bahawa keputusan melarang penggunaan pembesar suara untuk bacaan ayat-ayat suci sebelum solat subuh dibuat oleh majlis fatwa negeri, yang tidak menerima tekanan daripada mana-mana pihak termasuk daripada kerajaan negeri berhubung perkara itu.

Bagaimanapun kerajaan Pulau Pinang menyerahkan kepada pentadbiran masjid atau surau di negeri itu membuat pertimbangan sendiri sama ada mahu menggunakan sistem pembesar suara untuk mempendengarkan bacaan al-Quran dan zikir sebelum waktu subuh atau sebaliknya.

Hassan menjelaskan larangan penggunaan pembesar suara itu adalah nasihat hukum, iaitu satu panduan tanpa mewartakannya dalam enakmen agama Islam negeri.

Dia berkata banyak pihak termasuk media massa telah menyalah tafsir arahan itu kerana tidak faham perbezaan antara nasihat hukum dan fatwa sehingga mengheret Majlis Fatwa Kebangsaan untuk turut terkeliru.

Katanya, untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, Majlis Fatwa Negeri perlu mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 45 Enakmen Agama Islam Pulau Pinang 2004 tetapi dalam mengeluarkan arahan nasihat hukum, ia tidak memerlukan perkenan Seri Paduka.

Mursyidul Am Allahyarham PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika itu turut bersetuju dengan nasihat hukum itu.

Kaitkan dengan idea ‘komunis’

Allahyarham berkata menggunakan pembesar suara untuk membaca al-Quran di masjid sebelum azan akan mengganggu orang yang sedang tidur atau sedang sakit dan umat Islam perlu peka dan bertimbang rasa.

Pemuda PAS dan mufti Perlis ketika itu Dr Juanda Jaya berkata amalan bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh di masjid dan surau dengan kuat adalah bertentangan dengan sunah Nabi Muhammad SAW kerana ia mengganggu orang yang sedang tidur.

Mufti Perlis sekarang Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada waktu itu juga menyatakan sokongan mereka terhadap larangan tersebut.

Ismail dahulunya ahli parlimen Umno yang digugurkan daripada pencalonan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Dia merupakan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Selepas diketepikan Umno pada PRU15, Ismail kemudian menyertai PAS dan bertanding di Maran dalam pilihan raya umum lalu.

Pada soalan bertulis parlimen bertarikh 15 Feb 2023, Ismail bertanya satu lagi soalan pelik kepada menteri dalam negeri tentang mengapa kampung baru masih dikekalkan dan jika komunisme masih wujud di tempat tersebut.

Gambar hiasan.

"Minta menteri dalam negeri menyatakan kebanyakan kampung-kampung baru, asalnya dibentuk bagi penempatan semula golongan-golongan yang terlibat dengan komunis, kenapa ianya perlu dikekalkan?

"Apakah idea-idea komunis masih wujud di kampung-kampung baru dan apakah kerajaan bercadang untuk menyatukan semua kampung baru di bawah kementerian yang sama," kata soalan ahli parlimen Maran itu.

Saifuddin menjawab bahawa kampung-kampung baru telah ditubuhkan pada zaman darurat untuk menangani ancaman pemberontak komunis.

Idea di sebalik rancangan ini untuk memindahkan penduduk kampung Cina di penempatan terpencil yang berselerak di pinggir hutan ke kampung baru bagi mengelakkan pemberontak komunis mengancam atau menerima bantuan logistik atau maklumat daripada penduduk.

"Penduduk-penduduk Cina yang dipindahkan ke kampung baru semasa era darurat kebanyakannya merupakan mangsa-mangsa keganasan komunis dan mereka bukan bekas ahli komunis atau penyokong komunis sehingga kini," kata menteri dalam negeri.

"Mereka yang dipindah dan ditempatkan di kampung-kampung baru khususnya penduduk Cina merupakan mangsa-mangsa keganasan pengganas komunis yang kejam dan ganas walaupun terhadap masyarakat Cina sendiri," jelas Saifuddin lagi.

Lihat Komen
ADS