Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas MB mengaku tak salah terima wang haram RM1.06 juta

Bekas menteri besar Perlis, Azlan Man dihadapkan ke mahkamah untuk kali kedua dalam tempoh tiga hari.

Kali ini, pertuduhannya di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur adalah berhubung pengubahan wang haram membabitkan RM1.06 juta.

Azlan, 64, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Azura Alwi.

"Faham (pertuduhan) dan tidak (bersalah)," katanya.

Dia kemudiannya memohon supaya dibicarakan atas lima pertuduhan pengubahan wang haram itu yang membabitkan RM1,059,675.25.

Mengikut kelima-lima pertuduhan, Azlan didakwa telah menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM1,059,675.25 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd, Aidil Travel & Tours Sdn Bhd dan Abdul Rahim Halim yang mewakili syarikat Aidil Travel.

Azlan Man

Kesemua wang itu diterima tertuduh melalui tiga keping cek Maybank dan sekeping cek CIMB yang dibayar ke dalam akaun Maybank dan CIMB milik tertuduh serta secara tunai daripada Abdul Rahim.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di Kuala Lumpur, antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan memohon tarikh sebutan kes pada 9 Jun ini.

“Kesalahan yang dipertuduhkan ke atas tertuduh dalam kategori tidak boleh dijamin dan ada undang-undang yang mengikatnya mengikut Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah.

“Bagaimanapun, pihak kami tidak membantah jika hakim melaksanakan kuasa budi bicara untuk melepaskan tertuduh dengan jaminan, oleh itu saya mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Akram berkata beliau tidak memohon syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah kerana ia telah diserahkan kepada Mahkamah Sesyen Kangar setelah Azlan dituduh di mahkamah berkenaan Isnin lepas. 

Dia juga akan memohon supaya kes dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen Kangar dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

Sementara itu, peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Azlan berkata pihaknya telah berbincang dengan pendakwaan dan kedua-dua pihak bersetuju dengan wang jaminan yang ditawarkan.

Pada Isnin lepas (10 April), Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar terhadap lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017.

Dua hari lalu, Azlan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika menjadi menteri besar Perlis.

Azlan adalah Adun Pauh bermula hingga 2018, sebelum memenangi kerusi DUN Bintong dari 2018 hingga tahun lalu, apabila dia ditewaskan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dia menjadi menteri besar Perlis dari 2013 ke 2022.

Dia juga gagal mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian Kangar pada pemilihan parti itu, baru-baru ini.

Lihat Komen
ADS