Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan siasatan baru dibuat ke atas dakwaan seorang pesakit kanser yang MyKadnya diramas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Mengenai dakwaan Lina (Samuel), saya telah mengarahkan JPN Sarawak untuk mengadakan siasatan.
"Adalah wajar kertas siasatan baru dibuka semula dengan kadar segera berhubung aduan dibuat Lina," katanya.
Saifuddin berkata demikian sebagai mengulas dakwaan wanita terbabit - yang berusia 65 tahun - bahawa dia mengalami kesukaran mendapatkan rawatan selepas dokumen pengenalan dirinya dirampas JPN.
Lina yang menetap di Lawas menjelaskan kejadian itu berlaku selepas dia melawat pejabat JPN daerah terbabit untuk menukar alamat pada kad pengenalannya supaya dapat mengundi pada PRU ke-15 lalu.
Dia yang menghidap kanser usus kemudian tidak boleh mendapatkan rawatan di hospital awam kerana tiada memiliki MyKad.
Menurut wanita terbabit, MyKad itu dirampas pada Nov 2022. Namun, dakwaan Lina adalah bercanggah dengan kertas siasatan JPN Sarawak khususnya tarikh MyKad dirampas.
Saifuddin sebelum ini memberitahu MyKad Lina telah diimpaun oleh JPN Sarawak setelah mendapati dia seorang warganegara Indonesia.
"Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (BSK) JPN Sarawak telah mengadakan siasatan pada 10 Jan 2018 setelah mendapati sijil lahir dan kad pengenalan Lina disyaki tidak teratur kerana butir maklumat ibu pada rekod anak-anaknya dicatatkan subjek berasal dari Indonesia.
"Hasil siasatan, MyKad Lina disenarai hitam pada 25 Sep 2019 sebelum diimpaun pada 8 Okt 2019," katanya.
JPN turun padang
Katanya, siasatan sebelum ini dijalankan melalui kaedah membuat semakan ke atas rekod daftar kelahiran anak-anak Lina dan mengambil keterangan Lina serta Ketua Kampung, Singa Taei sebagai pemaklum.
"Kini kita ada dua versi berbeza berhubung waktu atau tarikh MyKad Lina ditahan. Jadi, saya telah mengarahkan untuk satu siasatan baru secara keseluruhan," katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata bahawa dia akan segera menyerahkan MyKad kepada Lina sekiranya warga emas itu dapat membuktikan dia lahir di Malaysia.
"Selepas saya menjadi menteri, JPN telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelesaikan isu anak tanpa kerakyatan khususnya di Sarawak.
"Kami telah mengumpul 948 kes anak tanpa kerakyatan melalui jawatankuasa ini dan lebih separuh daripada kes itu telah berjaya diselesaikan," katanya.
Tambah Saifuddin JPN juga menubuhkan pasukan petugas khas bagi membantu penduduk dari kawasan pedalaman Sarawak yang menghadapi isu dokumentasi.
"Pasukan ini turun ke kawasan perumahan mereka untuk membantu mereka yang tidak dapat ke pejabat JPN.
"Maka bagi kes Lina, JPN akan mengendalikan siasatan secara adil dan sentiasa sedia membantu dia," katanya.
