Paling Popular
Terkini

Pasukan peguam Fuad A Kiram menolak dakwaan kerajaan Malaysia bahawa pewaris kesultanan Sulu itu adalah pengganas.

Menurut Paul Cohen tindakan diambil Putrajaya itu dibuat kerana Malaysia sedang kalah dalam pertarungan undang-undang dengan terhadap Fuad dan waris Sulu lain berhubung tuntutan AS$14.92 bilion (RM65.88 bilion) yang difailkan.

“Sudah tentu Fuad Kiram bukan pengganas. Dan sudah tentu, Malaysia tahu hal ini.

"Tidak kurang seorang daripada bekas peguam negara (Malaysia) Tommy Thomas telah mengakuinya.

"Malaysia hanya mengada-adakan ini (label pengganas) dalam keadaan terdesak kerana setiap usaha lain mereka telah gagal," katanya.

Thomas dalam reaksinya kepada Malaysiakini bagaimanapun menafikan dakwaan Cohen.

Cohen - yang berpangkalan di United Kingdom - mendakwa Malaysia mengambil masa selama setahun untuk memberi tumpuan kepada fakta bahawa ia kehilangan timbang tara dan berpura-pura ia tidak berlaku. Seterusnya ia akan kehilangan proses penguatkuasaan.

“Kini ia telah mencipta tuduhan ‘keganasan’ dan sedang memulakan kempen untuk cuba menggunakan alat politik untuk menekan mahkamah luar.

“Ini mungkin berkesan di Malaysia atau Rusia, tetapi saya simpati pada peguam Malaysia di Perancis dan Belanda yang cuba menjelaskannya kepada hakim,” kata Cohen dalam e-mel kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Cohen berkata begitu sebagai menjawab pengisytiharan Malaysia - dibuat pada dua hari lalu - bahawa Fuad adalah seorang pengganas.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri, Khairul Dzaimee Daud, keputusan kerajaan ke atas Fuad dibuat atas peranannya dalam pencerobohan Lahad Datu di Sabah 10 tahun lalu.

“Kerajaan baru-baru ini mengklasifikasikan salah seorang penuntut dalam saman itu sebagai pengganas.

“Beliau ialah Fuad A Kiram yang terlibat dalam kes (pencerobohan bersenjata) di Kampung Tanduo.

“Individu itu diklasifikasikan sebagai pengganas pada 6 April mengikut Seksyen 66 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” kata Khairul Dzaimee.

Pewaris sultan terakhir Sulu yang dikatakan dianugerahkan AS$15 bilion (RM67 bilion) secara ex-parte (sebelah pihak) oleh mahkamah timbang tara Perancis pada tahun lalu.

Sementara itu ditanya mengenai tuduhan Cohen, Thomas menafikan dakwaan tersebut.

"Apa yang dikatakan oleh Cohen adalah tidak benar sama sekali dan dinafikan.

"Dia adalah musuh Malaysia - seperti yang saya nyatakan sebelum ini," kata bekas peguam negara itu dalam satu mesej ringkas kepada Malaysiakini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS