Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PAS: Saya bangkitkan isu Kg Baru Cina kerana 'tujuan keselamatan'
Diterbitkan:  Apr 14, 2023 4:53 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Ahli parlimen Maran, Ismail Abdul Muttalib menafikan dakwaan bahawa soalan yang dibangkitkannya pada sidang Dewan Rakyat baru-baru ini berbaur perkauman dan menghasut.

Ia susulan soalan dibangkitkan ahli parlimen PAS itu tentang mengapa kampung baru masih dikekalkan dan sama ada komunisme masih wujud di kawasan tersebut atau tidak.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ismail sebaliknya menegaskan soalan yang dibangkitkan itu adalah berdasarkan pemerhatiannya dan untuk tujuan keselamatan.

“Saya tahu sejarahnya. Sebagai contoh, di Kampung Baru. memanglah penempatan di situ untuk (mengawal) penduduk yang dipengaruhi oleh komunis.

"Jadi saya tidak mahu tanggapan bahawa masih ada komunis di kampung-kampung ini berlarutan,” katanya kepada Malaysiakini.

Jelas Ismail, apatah lagi penduduk kampung baru mesti berasimilasi (bergaul) dengan masyarakat sekeliling.

Sebab itu, katanya dia mencadangkan agar pengendalian kampung-kampung baru digerakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara supaya penduduk dapat bercampur dengan lebih baik dengan masyarakat lain, jelasnya.

Kerajaan menubuhkan kampung baru semasa pemberontakan komunis untuk melindungi masyarakat Cina daripada ancaman mereka.

Berdasarkan pemerhatiannya, Ismail mendakwa penduduk kampung baru cenderung bersifat mono-etnik dengan sebilangan penduduk kampung Cina tidak dapat menguasai bahasa Melayu.

“Sedangkan di kampung lain, misalnya di Felda, ada juga orang Cina walaupun ia khusus untuk orang Melayu,” katanya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Ismail bertanyakan soalan pelik kepada menteri dalam negeri tentang mengapa kampung baru masih dikekalkan dan jika komunisme masih wujud di kawasan tersebut, pada soalan bertulis parlimen bertarikh 15 Feb 2023.

Ismail juga mempersoalkan apakah kerajaan bercadang untuk menyatukan semua kampung baru di bawah kementerian yang sama.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menjawab bahawa kampung-kampung baru telah ditubuhkan pada zaman darurat untuk menangani ancaman pemberontak komunis.

Jelas Saifuddin, idea di sebalik rancangan ini untuk memindahkan penduduk kampung Cina di penempatan terpencil yang berselerak di pinggir hutan ke kampung baru bagi mengelakkan komunis mengancam atau menerima bantuan logistik atau maklumat daripada penduduk.

Selain soalan itu, Ismail juga meminta kerajaan menyatakan apakah rasional untuk "mengiktiraf" rakyat yang dilahirkan selepas merdeka di Malaysia tanpa mengira "warna kulit".

Dalam soalan berasingan yang dikemukakan Ismail di Dewan Rakyat, ahli parlimen PAS itu turut bertanya mengapa “sebuah kerajaan negeri” mengeluarkan arahan kepada semua masjid di negeri itu untuk merendahkan pembesar suara azan.

Kenyataan Ismail itu mengundang kritikan daripada ahli parlimen lain termasuk pemimpin DAP, P Ramasamy yang berkata pemimpin PAS itu boleh didakwa di bawah Akta Hasutan atas soalan bertulis parlimen yang dilontarkannya itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS