Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tujuh kanak-kanak antara 315 kematian di depoh imigresen dalam dua tahun
Diterbitkan:  Apr 17, 2023 10:00 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

Tujuh kanak-kanak adalah antara 315 kematian yang dilaporkan di depoh tahanan imigresen di seluruh negara antara 1 Jan 2021 dan 31 Dis 2022, menurut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution.

Menurutnya, tujuh kanak-kanak yang meninggal dunia itu terdiri daripada lima lelaki dan dua perempuan.

Kematian lain termasuk 268 tahanan lelaki dan 40 tahanan wanita.

“Antara punca kematian yang dikenal pasti oleh pihak hospital ialah jangkitan Covid-19, batuk kering, penyakit jantung dan buah pinggang, kanser dan jangkitan paru-paru (pneumonia).

“Pengendalian kes kematian dilakukan mengikut prosedur undang-undang di mana laporan polis akan dibuat oleh pegawai yang bertugas semasa kematian berlaku, selain pihak hospital akan mengeluarkan laporan perubatan menjelaskan punca kematian dan pengesahan kematian dibuat oleh hakim mahkamah koroner untuk menentukan tiada penyeksaan atau unsur jenayah yang berlaku,” kata Saifuddin.

Dia berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen kepada Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi, yang meminta jumlah kematian di depoh imigresen mengikut kewarganegaraan dan lokasi depoh untuk 2021 dan 2022.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail

Dilaporkan pada akhir Julai 2022 bahawa enam kanak-kanak lelaki telah meninggal dunia di depoh imigresen antara 2020 dan 12 Julai 2022.

Tidak jelas sama ada kematian tujuh kanak-kanak itu, seperti yang didedahkan oleh Saifuddin, termasuk beberapa yang dilaporkan sebelum ini kerana pertindihan dalam tempoh masa data yang diberikan.

Laporan daripada pelbagai sumber, termasuk Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, telah mendakwa bahawa keadaan di depoh imigresen adalah "mengerikan".

Saifuddin juga baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan sedang menjalankan usaha untuk memindahkan kanak-kanak yang ditahan dalam tahanan imigresen ke pusat perlindungan luar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS