Kerjasama atau jalinan hubungan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) adalah ibarat sebuah perkahwinan yang telah diaturkan 'orang tua' dan bukannya sebagai perkahwinan paksa, kata Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar.
Dia mengulas kenyataan bekas naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, yang mendakwa kerjasama itu tidak akan berjaya kerana “tiada rasa cinta” antara kepimpinan tertinggi parti atau di peringkat akar umbi.
Malah, Mahfuz berkata dia yakin proses 'percintaan' yang berlaku melalui pembentukan kerajaan di peringkat pusat dan negeri itu akan membuahkan hasil terutama pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
"Saya penuh yakin (dengan) apa yang saya sebut selama ini, (iaitu kerjasama PH dan BN) ini bukan kahwin paksa, ini adalah perkahwinan hasil jodoh yang dipertemukan oleh orang tua-tua… ‘orang tua’ yang dimaksudkan adalah Yang di-Pertuan Agong.

"Baginda yang mempertemukan jodoh kami dan insya-Allah percintaan selepas pernikahan ini akan lebih intim dan membawa kebahagian melibatkan kerukunan rumah tangga, katanya yang dipetik oleh Astro Awani selepas majlis sidang meja bulat, parti-parti kerajaan perpaduan peringkat negeri Kedah, di Alor Setar, malam semalam.
Utusan Malaysia, semalam melaporkan Ismail Sabri berkata dia menjangkakan keretakan dalam hubungan itu akibat pergeseran antara Umno dan DAP berikutan perang mulut antara beberapa tokoh dalam kedua-dua parti itu.
“Apa pun yang kita buat mesti suka sama suka, kahwin paksa memang tak akan jadi. Jadi kalau kawin paksa macam ini, tidak ada perasaan antara satu sama lain, akan berlakulah keretakan.
“Setakat ini baru permulaan tetapi dah ada DAP komen tentang Umno. Umno komen tentang DAP. Kahwin paksa tidak boleh, dia mesti suka sama suka,” katanya yang dipetik akhbar itu.
'Saya bukan calon MB'
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mahfuz yang juga naib presiden Amanah berkata dia bukan calon menteri besar sekiranya gabungan PH-BN memenangi pilihan raya negeri Kedah akan datang.
Malah, Mahfuz secara berseloroh berkata, ada seseorang akan ‘dimasukkan ke hospital sakit jiwa’ jika dia dilantik sebagai menteri besar Kedah kelak, yang jelas kepada Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut Mahfuz, isu calon MB negeri akan hanya akan dimuktamadkan selepas urusan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN selesai dilaksanakan sekitar pertengahan bulan depan.
"Kita akan bincang selepas ini untuk menentukan siapa calon menteri besar Kedah, yang pasti bukan saya, sebab kalau saya jadi menteri besar Kedah, sah (akan) ada orang ‘masuk wad gila’.
"Sekarang pun (orang itu) tengah ‘gila’ yang (mana) orang (ramai) melalui video tular tunjukkan kegelisahan mereka (itu)… (video yang mereka muat naik) itu (adalah) untuk melagakan dalam kalangan pimpinan (BN dan PH),” katanya yang dipetik oleh Astro Awani.
Walaupun dia tidak menyebut sebarang nama, Mahfuz dan Sanusi sering bertelagah, dengan Mahfuz baru-baru ini dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memulakan prosiding penghinaan terhadap Sanusi yang menyiarkan semula kenyataan berunsur fitnah di Facebook.
Ini berikutan perintah Mahkamah Rayuan kepada Sanusi untuk membayar ganti rugi RM120,000 kepada Mahfuz kerana memfitnahnya dengan mengaitkannya dengan pemindahan kedai perjudian nombor ramalan ke Pokok Sena.
Sementara itu, Mahfuz yang juga adalah bekas ahli parlimen Pokok Sena berkata, pemilihan Sanusi sebagai ‘poster boy’ menteri besar Kedah sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang di dalam PRN akan datang membuktikan parti itu ketandusan pemimpin profesional dan berwibawa.
