Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM mahu rakaman CCTV kereta menteri di sebuah kondominium

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta pihak pengurusan sebuah kondominium di Cyberjaya menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) melibatkan tiga buah kereta.

Menurut sumber SPRM, dua daripadanya didaftarkan atas nama menteri sumber manusia V Sivakumar.

Difahamkan ia sebahagian daripada dakwaan rasuah yang dikatakan bernilai RM97 juta melibatkan dua pegawai kanan menteri itu.

"Sebanyak tiga kenderaan menjadi sebahagian daripada siasatan.

"SPRM telah meminta rakaman CCTV bagi tarikh 6 Mac 2023 - 7 Mac 2023 dan 7 April 2023 - 8 April 2023 bagi tiga kereta jenis Mercedes Benz,  Proton Perdana dan Outlander (Mitsubishi)," katanya kepada Malaysiakini.

Carian maklumat kenderaan di internet mendapati kereta Mercedes berwarna perak dan Outlander berwarna merah itu didaftar sebagai kenderaan milikan persendirian atas nama Sivakumar.

Namun, carian tidak dapat memastikan pemilikan kenderaan ketiga jenis Proton Perdana.

SPRM memohon rakaman CCTV itu semalam dan memberi tempoh kepada kondominium itu untuk menyerahkannya sehingga hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat menteri dan SPRM dan masih menunggu maklum balas mereka.

SPRM masih teruskan siasatan - laporan

Sementara itu,  memetik sumber yang tidak dinamakan, Utusan Malaysia melaporkan bahawa SPRM masih meneruskan pencarian wang berjuta-juta ringgit yang didakwa melibatkan pegawai kanan menteri melalui orang tengah.

Laporan itu turut mengesahkan bahawa SPRM tidak sebarang bukti ketika mengeledah rumah dan pejabat menteri.

"Difahamkan tiada rampasan dibuat kerana SPRM tidak menemui sebarang bukti yang diperlukan," sumber itu dipetik sebagai berkata.

Sumber SPRM semalam memberitahu Malaysiakini bahawa tiada serbuan terhadap rumah dan pejabat Sivakumar tetapi hanya “lawatan”.

Sumber itu juga memberitahu portal itu bahawa SPRM tidak menolak kemungkinan mengambil keterangan menteri sekali lagi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

SPRM menyerbu pejabat Kementerian Sumber Manusia (KSM) di Putrajaya pada Khamis dan menahan seorang pegawai kanan Sivakumar.

Sehari kemudian, agensi antirasuah itu menahan setiausaha sulit Sivakumar pula dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Selain itu, seorang ahli perniagaan dari Ipoh ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan agensi pekerja asing.

Beberapa laporan sebelum ini mengesahkan bahawa menteri telah memberi keterangan hampir sembilan jam di pejabat SPRM.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam berkata tiada keperluan untuk Sivakumar direhatkan berhubung siasatan yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

Anwar berkata mana-mana pihak tidak boleh membuat telahan sendiri memandangkan ia masih dalam siasatan dan tiada sebarang pertuduhan yang dibuat setakat ini.

Lihat Komen
ADS