WAWANCARA l Pembinaan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan dijangka tidak akan menjejaskan bekalan sumber pekerja ke Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini, baru-baru ini, Fadillah berkata Indonesia adalah sebuah negara yang sangat besar dengan teanga pekerja yang besar.
“Saya tidak fikir semua rakyat mereka akan dapat peluang yang sama, walaupun mereka yang berada di Kalimantan dalam hal ini.

“Sebab itu masih ramai orang Kalimantan pergi ke Sarawak dan Sabah untuk bekerja.
“Jadi saya tidak lihat itu sebagai cabaran buat kita,” kata Fadillah, yang juga menteri perladangan dan komoditi.
Fadillah berkata warga Indonesia masih dijangka mengisi kekosongan dalam sektor perladangan, yang memerlukan 120,000 pekerja selepas sekatan Covid-19 ditarik balik pada 1 Ogos tahun lalu.
Indonesia sebelum ini melarang pekerjanya ke Malaysia atas alasan pekerja asing tidak mendapat perlindungan yang sewajarnya.
Larangan itu, bagaimanapun baru-baru ini ditarik balik, susulan penguatkuasaan yang lebih ketat dengan mewajibkan "sistem satu saluran" yang hanya membenarkan pekerja meninggalkan negara itu melalui agensi bertauliah.

“Bukan mereka tidak datang, tetapi lebih banyak syarat dikenakan untuk ke Kalimantan atau Indonesia.
"Ini untuk menyukarkan orang ramai untuk keluar kerana prosedur ketat yang perlu mereka patuhi tetapi masih ramai yang tetap datang," katanya.
Fadillah menambah Sarawak juga terus menarik pelancong Indonesia dan mereka yang mencari pilihan untuk kemudahan penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Sebelum wabak Covid-19, warga Indonesia adalah kumpulan pekerja asing keempat terbesar di Malaysia, dengan kebanyakan mereka berkhidmat di sektor perladangan, pembinaan, pembuatan dan bantuan domestik.
Fadillah berkata pihak berkepentingan di Sarawak dan Sabah telah secara aktif melibatkan rakan sejawatan mereka di Kalimantan untuk mengambil bahagian dalam rancangan yang dirangka oleh pentadbiran Presiden Indonesia Joko Widodo.

Komitmen ini ditegaskan semula semasa lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Indonesia pada Januari lalu dan ini juga, antara lain, akan membabitkan syarikat-syarikat Malaysia dalam bidang perladangan dan pembinaan.
“Sarawak diberi satu pakej pembinaan tenaga hidro di Kalimantan.
"Kita menjual tenaga kepada Kalimantan dan dengan itu, saya fikir akan ada lebih banyak peluang," kata Fadillah, yang merupakan ahli Parlimen Petrajaya selama lima penggal, merujuk kepada peranan GLC negeri, Sarawak Energy sebagai pemaju usaha sama Projek Tenaga Hidro Mentarang Induk (MIHEP) di Kalimantan Utara, Indonesia.
Projek AS$2.6 bilion (RM11.5 bilion) - dilaporkan akan beroperasi pada 2029 - adalah usaha niaga hidro antarabangsa pertama Sarawak Energy, yang mempunyai empat puluh tahun pengalaman domestik.

Pada 1 Mac, Jokowi menyaksikan acara pecah tanah perasmiannya di Malinau bersama Premier Sarawak Abang Johari Openg.
