Ijok: PKR edar 3,000 VCD perobohan kuil Hindu, kes Udayappan

Muda Mohd Noor        

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menambah strategi berkempen dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok dengan mengedarkan cakera padat (VCD) kepada pengundi keturunan India.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), S Manikavasagam berkata, 3,000 keping VCD mengenai dua isu yang membabitkan masyarakat keturunan India masakini - perobohan kuil dan kematian G Francis Udayapan sewaktu tahanan polis - telah diedarkan.

Menurutnya, mayat Udayapan ditemui di Sungai Kelang pada 23 Mei 2004 selepas sebulan ditahan di Balai Polis Brickfields.

Pegawai polis mendakwa Udayapan melompat keluar melalui tingkap semasa dalam tahanan dan lemas di dalam sungai tersebut, katanya.

Manikavasagam berkata, 3,000 unit VCD lagi akan diedarkan kepada pengundi di kawasan majoriti pengundi India seperti di Sungai Darah dan Tuan Mee.

"Kami masuk estet dan kampung orang India untuk membahagikan VCD tersebut supaya mereka tengok sendiri apa yang telah berlaku kepada masyarakat India di Selangor.

Dapat sambutan

"Kini mereka boleh tengok berapa banyak kuil yang dirobohkan oleh kerajaan Selangor kerana di negeri inilah paling banyak kuil dirobohkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Manikavasagam yang juga timbalan pengarah pilihanraya kecil Ijok PKR bagi Sungai Darah dan Tuan Mee berkata, setakat ini, sambutan dari pengundi India amat baik walaupun BN kerkempen siang malam di kawasan yang sama.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan kebenaran laporan media bahawa 53 ahli PKR dari cawangan Taman Muhibah di Batang Berjuntai, telah keluar parti baru-baru ini.

Sebaliknya, kata beliau, ramai ahli MIC menyertai dan menyokong PKR secara senyap-senyap sejak pengumuman Ketua MIC Kuala Selangor, S P Thirumoorthy keluar dari parti itu baru-baru ini.

"Thirumoorthy tidak menyertai PKR tetapi pengikutnya ramai yang masuk tetapi tidak mahu mengumumkannya buat sementara waktu," katanya.

Manikavasagam berkata, jentera kempen parti itu mendapat sambutan baik di semua kawasan masyarakat India.

Sementara itu, Badan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) pula turut menyebarkan 5,000 risalah mengenai kes perobohan kuil Hindu di Malaysia.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In